Monday, 15 September 2014

50 keluarga terima kediaman sementara


Khan Yunis: Lima puluh keluarga Palestin yang hilang tempat tinggal akibat keganasan Israel di Semenanjung Gaza semalam diberikan rumah mudah alih.

Kira-kira-kira 9,800 rumah musnah sementara 8,000 lagi tidak boleh didiami akibat serangan Israel sepanjang 50 hari itu. Pengerusi sebuah persatuan Gaza di Emiriah Arab Bersatu, Imad al-Haddad, menyerahkan rumah berkenaan kepada keluarga terbabit di kejiranan Khuzaa, Menurutnya, setiap unit yang mempunyai dua bilik, satu bilik air dan dapur boleh memuatkan enam orang dan dianggar berharga RM22,000 setiap satu.



Menurutnya, persatuan itu akan menyumbang 50 lagi sebelum ketibaan musim sejuk. Menurut agensi bantuan Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), 65,000 penduduk Gaza masih menumpang di sekolah sementara menanti bantuan untuk ditempatkan semula.

Mohamed al-Najjar, 60, yang kehilangan rumah tiga tingkatnya selepas musnah dalam serangan udara tentera Israel adalah antara penerima bantuan rumah mudah alih itu, semalam.


Dia yang menyifatkannya sebagai amat sesuai untuk jangka masa pendek berazam untuk membina semula rumahnya. “Saya akan bina semula rumah saya.


Kami tidak mahu tinggal di rumah sementara sepanjang masa,” katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

No comments:

Post a Comment