Menurut PCC, kanak-kanak yang didera itu adalah sebahagian daripada 600 kanak-kanak Palestin yang ditahan di Baitulmaqdis sejak Jun 2013 dan mereka diseksa semasa ditahan atau disiasat pihak berkuasa Israel.
Kata kumpulan itu, ‘kempen tahanan harian’ ke atas golongan belia Palestin yang tinggal di ibu kota bersejarah ini merupakan satu hukuman kolektif ke atas penduduk Palestin di Baitulmaqdis.
Seorang peguam PCC, Mufeed al-Haj berkata, antara pencabulan yang dilaporkan berlaku semasa penahanan kanak-kanak itu ialah serbuan ke atas rumah-rumah keluarga mereka pada waktu malam dan subuh serta penderaan fizikal dan seksual.
Mufeed berkata, kanak-kanak bawah umur yang ditahan itu sepatutnya ditemani ibu bapa mereka semasa disoal siasat, namun `pihak berkuasa Israel tidak menghormati undang-undang dalam kebanyakan kes’.
“Pasukan keselamatan (Israel) sering mengabaikan udang-undang dan menahan penduduk Palestin tanpa sebarang waran tangkap,’’ kata Mufeed kepada WAFA, agensi berita rasmi Palestin, sebagaimana dilaporkan portal International Business Times.
PCC merupakan sebuah badan bebas Palestin yang ditubuhkan pada 1993 dan disertai seramai 1,600 bekas tahanan Palestin yang menghabiskan tempoh tahanan sekurang-kurangnya setahun di penjara Israel.
Kelab itu menyokong penduduk Palestin yang dipenjara di Israel dengan membiayai kos guaman, campur tangan politik dan membantu keluarga tahanan.