Wednesday 26 November 2014

Britain kaji semula lesen eksport senjata ke Israel


REUTERS - SEORANG kanak-kanak Palestin berdiri di luar sebuah masjid yang rosak serta dipenuhi kesan serpihan ledakan bom akibat serangan Israel di bandar Beit Hanoun, selatan Semenanjung Gaza semalam.


LONDON – Britain sedang mengkaji semula lesen kebenaran mengeksport senjata ke Israel bagi memastikan peralatan tersebut tidak akan digunakan bagi tujuan yang boleh melanggar undang-undang antarabangsa, kata kerajaan kelmarin.
Pihak kerajaan sebelum ini telah melakukan kajian pertama pada Ogos lalu sebagai tindak balas berhubung konflik yang berlaku antara kerajaan Israel dengan Hamas di Gaza dan memutuskan akan menggantung 12 lesen mengeksport kelengkapan ketenteraan kepada Israel jika peperangan berterusan.
Kajian kedua itu dibuat sehari selepas tentera Israel menembak mati seorang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza berdekatan sempadan Israel yang merupakan kematian pertama selepas 50 hari peperangan berlangsung dan berakhir pada Ogos lalu.
“Bagi memastikan proses gencatan senjata yang dibuat sejak dua bulan lalu itu dipatuhi, menteri Kabinet membuat keputusan awal bulan ini untuk melaksanakan kajian semula,” kata seorang jurucakap kerajaan dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, kajian sebelum ini mendapati bahawa sebahagian besar senjata yang dieksport ke Israel telah digunakan oleh tentera rejim Zionis itu untuk menyerang Gaza.
Laporan yang dikeluarkan oleh Parlimen Britain pada Julai lalu mendapati pihak kerajaan telah meluluskan kontrak mengeksport kelengkapan tentera ke Israel bernilai lebih daripada £7.8 bilion (RM41 bilion) termasuk keperluan jaket kalis peluru, dron dan peluru berpandu.
Kumpulan Kempen Menentang Perdagangan Senjata mendedahkan satu data analisis kelmarin yang menunjukkan kerajaan Britain telah meluluskan lesen ketenteraan kepada Israel bernilai £7 juta (RM36.8 juta) dalam tempoh enam bulan sebelum tercetusnya perang di Gaza. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3K7ZX8BlF 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment