Penduduk Palestin mendukung rakan mereka yang cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di Tulkarem, kelmarin. - Foto AFP
BAITULMAQDIS - PALESTIN. Berpuluh-puluh penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel semasa ulang tahun ke-11 kematian bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat di Tebing Barat, kelmarin.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya empat orang terkena peluru hidup yang dilepaskan tentera rejim di al-Bireh, berhampiran Ramallah.
Menurut RT, salah seorang mangsa terkena tembakan di jantung dan doktor berusaha menyelamatkan nyawanya.
"Seramai 62 orang cedera terkena peluru hidup atau peluru keluli bersalut getah yang dilepaskan tentera Israel di Tulkarem, Ramallah, al-Bireh dan Bethlehem," menurut kenyataan dikeluarkan kementerian itu semalam.
Sementara itu, tentera Israel dalam kenyataan balasnya seperti biasa menyalahkan penduduk Palestin sebagai memulakan pertempuran tersebut.
"Kami hanya bertindak balas selepas diserang dengan batu dan molotov koktel oleh perusuh," katanya.
Arafat meninggal dunia di Hospital Tentera Percy dekat Paris pada 11 November 2004, dipercayai akibat diracun oleh perisik Israel.