Palestin mahu kemuka dokumen baharu
Mahmoud (kanan) bersama Riyad ketika menerima salinan Statut Rom yang merupakan asas perjanjian ICC pada minggu lalu.
RAMALLAH - PALESTIN. Pihak Berkuasa Palestin (PA) mahu mengemukakan dokumen baharu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mempercepatkan siasatan awal ke atas jenayah perang yang dilakukan Israel.
Menteri Hal Ehwal Luar, Riyad al-Maliki memberitahu mereka turut menghubungi pejabat pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda berhubung prosedur yang perlu diambil untuk mengambil langkah tersebut.

"Siasatan tersebut tidak hanya memfokuskan serangan yang dilancarkan rejim Zionis pada Julai lalu malah ICC akan meneliti segala aspek jenayah perang atau jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh mereka selama ini," jelasnya.

Menurutnya lagi, PA telah mengadakan rundingan dengan Rusia dan China yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB untuk memastikan siasatan ke atas Israel berjalan lancar serta tidak lagi ditangguhkan.

Pada Februari lalu, Presiden Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri menuntut penubuhan jawatankuasa baharu yang akan memantau perjalanan proses untuk mengheret Israel ke muka pengadilan. - Press TV