Wednesday, 18 November 2015

Israel haramkan parti Arab Islam

Baitulmaqdis: Israel semalam mengumumkan mengharamkan parti Islam yang didakwa menghasut keganasan dalam kalangan penduduk Arab di negara itu, kononnnya dalam usaha meredakan ketegangan sejak dua bulan lalu.
Kerajaan mengumumkan Cabang Utara Pergerakan Islam Israel sebagai haram dan mengugut aktivisnya boleh ditangkap jika melanggar perintah itu.
Ketua kumpulan itu, Raed Salah berkata, pihaknya akan melawan perintah itu dan meneruskan misinya.
“Semua langkah diambil Israel bersifat menindas dan kami mengutuk sekeras-kerasnya,” katanya.
Menurutnya, dua pemimpin parti itu juga dipanggil untuk soal siasat polis.
Parti itu yang menyediakan perkhidmatan keagamaan serta pendidikan untuk golongan Arab Israel kerap menuduh Israel cuba mengambil alih lokasi suci di Baitulmaqdis termasuk Masjid Al-Aqsa. Israel berulang kali menafikan dakwaan itu.
Sehubungan itu, semalam, tentera Israel menyerbu belasan pejabat kumpulan berkenaan di sekitar negara itu dengan merampas komputer, fail serta dana.
Pihak berkuasa turut membekukan akaun banknya manakala 17 organisasi yang berkaitan dikenakan perintah supaya menghentikan operasi.
Menteri Keselamatan Awam Israel Gilad Erdan mengaitkan keputusan itu dengan serangan bom di Paris minggu lalu.
“Israel mesti menjadi contoh dan memulakan misi menentang Islam radikal seperti yang baru-baru ini dilihat di Paris,” katanya dalam satu kenyataan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:03 AM


Gambar fail menunjukkan Raed (tengah) ketika meninggalkan mahkamah di Baitulmaqdis pada 27 Oktober lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93864#sthash.yFiHmkus.dpuf