Sunday 12 October 2014

palestin

Britain mahu iktiraf Palestin


Parlimen Britain akan mengadakan undian untuk mengiktiraf kewujudan Palestin sebagai sebuah negara.
Parlimen Britain akan mengadakan undian untuk mengiktiraf kewujudan Palestin sebagai sebuah negara.
LONDON - UNITED KINGDOM. Britain bakal mengadakan undi bersejarah pada esok di Dewan Rakyat untuk memutuskan sama ada Palestin akan diiktiraf sebagai sebuah negara.

Langkah itu dibuat hasil keputusan sebulat suara Ahli Parlimen Britain yang percaya kerajaan perlu mengiktiraf wilayah itu yang kini diduduki Israel.

"Kami menyokong sepenuhnya usaha mereka walaupun Britain mengambil pendekatan berkecuali ketika undian mengesahkan Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 2012," kata Ahli Parlimen, Grahame Morris.

Minggu lalu, Sweden menjadi negara anggota pertama Kesatuan Eropah (EU) mengakui kewujudan Palestin  yang dilihat sebagai asas penyelesaian konflik antara wilayah itu dan Israel.

Memetik laporan BBC, sehingga kini, lebih 100 negara mengkitiraf Palestin selaras dengan usaha masyarakat dunia mempertahankan hak penduduk wilayah itu yang terus menjadi mangsa penindasan rejim Zionis.

Bahan binaan dibenar ke Gaza


GAZA CITY 11 Okt. - Tiga hari selepas menyekat kemasukan bahan binaan ke Genting Gaza, Israel akhirnya akan membenarkan kemasukan lebih banyak bahan binaan ke Gaza minggu depan, sebagai sebahagian daripada perjanjian bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membangunkan semula wilayahtersebut yang musnah teruk akibat kekejaman Zionis.
Timbalan Perdana Menteri kerajaan perpaduan Palestin, Mohammed Mustafa berkata, pasukan pemeriksa Palestin akan bergerak ke sempadan Gaza minggu depan untuk memantau keadaan bahan binaan berkenaan yang dijangka mula dihantar esok.
"Kuantiti bahan mentah yang akan dibawa masuk kali ini tiga kali lebih banyak daripada penghantaran sebelumnya," jelas Mohammed.
Sehingga kini, Israel hanya membenarkan kemasukan bahan binaan untuk projek yang dikawal selia oleh agensi antarabangsa sahaja dan bukan untuk projek sektor swasta Gaza.
Hal ini kerana Israel bimbang pergerakan Hamas akan menggunakan bahan binaan terbabit untuk kegunaan ketenteraan termasuk membina pelancar roket dan terowong bawah tanah.
Seorang pegawai PBB berkata, prosedur yang digunakan oleh Israel merumitkan proses penghantaran dan berharap satu mekanisma baharu dapat diwujudkan bagi membolehkan lebih banyak bahan binaan dapat dihantar pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry dijangka menyambung semula rundingan damai antara Palestin dan Israel selepas dilapor menghadiri Persidangan Antarabangsa Membina Semula Gaza di Kaherah, hari ini.
Kerry dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam persidangan yang turut dihadiri oleh 30 buah negara termasuk Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon bagi mencari dana AS$1.6 bilion (RM5.21 bilion) untuk membina semula Gaza. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141012/lu_02/Bahan-binaan-dibenar-ke-Gaza#ixzz3FsCm534b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ulama Islam gesa pertahan Masjid al-Aqsa


Penduduk Palestin menunjukkan peluru getah dan bekas bom asap yang digunakan pihak berkuasa rejim Zionis bagi menghalau umat Islam yang berada di dalam Masjid al-Aqsa. - Foto AFP
Penduduk Palestin menunjukkan peluru getah dan bekas bom asap yang digunakan pihak berkuasa rejim Zionis bagi menghalau umat Islam yang berada di dalam Masjid al-Aqsa. - Foto AFP
DOHA - QATAR. Kesatuan Ulama Antarabangsa menggesa gabungan kemanusiaan Arab-Islam mempertahankan Masjid al-Aqsa daripada pencerobohan Zionis dan mengembalikan hak rakyat Palestin di wilayah diduduki Israel.

Rabu lalu, polis Israel menyerbu Masjid al-Aqsa dan menggunakan gas pemedih mata untuk menghalau mereka yang berada di dalam masjid sebelum membenarkan penduduk Yahudi memasuki bangunan itu ketika festival Sukkot.

Kesatuan tersebut dalam satu kenyataan berkata, ia diikuti kebimbangan terhadap tindakan rejim Zionis yang mula membenarkan kemasukan orang Yahudi ke dalam masjid ketiga paling suci itu.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan Zionis dan pasukan keselamatan Israel yang membaling bom sehingga menyebabkan kebakaran permaidani di dalam masjid," katanya dipetik Middle East Monitor.

Menurutnya lagi, kesatuan menggesa semua negara di dunia dan organisasi antarabangsa untuk berusaha ke arah menghentikan kekejaman Zionis.

Hospital Gaza kekurangan bahan api


11 Oktober 2014

GENTING GAZA - PALESTIN. Timbalan menteri kesihatan, Yousef Abul-Rish mengeluarkan amaran bahawa krisis kemanusiaan di hospital Gaza semakin meruncing kerana kekurangan bahan api.

Menurutnya, kebanyakan hospital di Gaza bakal kehabisan bahan api dalam tempoh 48 jam.

"Kebanyakan kemudahan hospital di Gaza menggunakan generator.

"Jika bekalan habis, mesin hemodialisis  dan lain-lain mesin akan berhenti berfungsi," katanya dipetik Middle East Monitor.

Sementara itu, akhbar al-Resalah melaporkan kekurangan bahan api di hospital Gaza mungkin menyebabkan kematian dalam kalangan pesakit.

EU haramkan produk tenusu Israel


Larangan mengimport produk tenusu ke EU dari Israel akan berkuat kuasa Januari tahun depan.
Larangan mengimport produk tenusu ke EU dari Israel akan berkuat kuasa Januari tahun depan.
BRUSSELS - BELGIUM. Kesatuan Eropah (EU) memutuskan untuk mengharamkan import produk tenusu dari Israel berkuat kuasa Januari tahun depan.

Berdasarkan keputusan itu, EU tidak lagi mengiktiraf kuasa agensi pemeriksaan sejak 1967 dan tanpa pemeriksaan produk tenusu termasuk dari timur al-Quds (Baitulmaqdis) serta Golan Heights, ia tidak boleh diedarkan di Eropah.

Difahamkan, Kementerian Pertanian Israel telah memaklumkan kepada semua syarikat tenusu tentang pengharaman berkenaan.

"Bermula 1 Januari 2015, tiada lagi aktiviti mengeksport produk tenusu ke Green Line, sama ada secara langsung atau tidak langsung," menurut kementerian itu.

Menurut Press TV, kementerian tersebut juga sedang berusaha mengurangkan larangan kerana mendakwa langkah itu akan menyebabkan negara menanggung kerugian kewangan minimum berikutan eksport tenusu ke EU menyumbang sebahagian kecil kepada keuntungan Israel.