Sunday 12 October 2014

Bahan binaan dibenar ke Gaza


GAZA CITY 11 Okt. - Tiga hari selepas menyekat kemasukan bahan binaan ke Genting Gaza, Israel akhirnya akan membenarkan kemasukan lebih banyak bahan binaan ke Gaza minggu depan, sebagai sebahagian daripada perjanjian bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membangunkan semula wilayahtersebut yang musnah teruk akibat kekejaman Zionis.
Timbalan Perdana Menteri kerajaan perpaduan Palestin, Mohammed Mustafa berkata, pasukan pemeriksa Palestin akan bergerak ke sempadan Gaza minggu depan untuk memantau keadaan bahan binaan berkenaan yang dijangka mula dihantar esok.
"Kuantiti bahan mentah yang akan dibawa masuk kali ini tiga kali lebih banyak daripada penghantaran sebelumnya," jelas Mohammed.
Sehingga kini, Israel hanya membenarkan kemasukan bahan binaan untuk projek yang dikawal selia oleh agensi antarabangsa sahaja dan bukan untuk projek sektor swasta Gaza.
Hal ini kerana Israel bimbang pergerakan Hamas akan menggunakan bahan binaan terbabit untuk kegunaan ketenteraan termasuk membina pelancar roket dan terowong bawah tanah.
Seorang pegawai PBB berkata, prosedur yang digunakan oleh Israel merumitkan proses penghantaran dan berharap satu mekanisma baharu dapat diwujudkan bagi membolehkan lebih banyak bahan binaan dapat dihantar pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry dijangka menyambung semula rundingan damai antara Palestin dan Israel selepas dilapor menghadiri Persidangan Antarabangsa Membina Semula Gaza di Kaherah, hari ini.
Kerry dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam persidangan yang turut dihadiri oleh 30 buah negara termasuk Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon bagi mencari dana AS$1.6 bilion (RM5.21 bilion) untuk membina semula Gaza. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141012/lu_02/Bahan-binaan-dibenar-ke-Gaza#ixzz3FsCm534b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment