Friday, 14 March 2014

Israel serang Genting Gaza

Israel serang Genting Gaza
Sebanyak 29 kawasan di Gaza menjadi sasaran serangan udara terbaharu rejim Zionis. 
14 Mac 2014

GENTING GAZA - Pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara dengan menyasarkan 29 kawasan termasuk pangkalan Hamas dan kumpulan sayap bersenjata Jihad Islam, Briged al-Quds di wilayah tersebut sejak kelmarin.

Bagaimanapun menurut Press TV, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden terbabit.

Difahamkan, serangan balas itu dibuat kononnya selepas kumpulan militan mengaku membedil sekurang-kurangnya 90 roket ke Israel sebagai respons terhadap serangan udara yang membunuh tiga anggota mereka di selatan Gaza, Selasa lalu.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menggesa Israel supaya menghentikan tindakan agresif ke atas Gaza.

Jurucakap beliau, Nabil Abu Rudeina berkata, Mahmoud turut meminta rejim Zionis tidak meningkatkan lagi ketegangan di Genting Gaza yang kini dilanda krisis kemanusiaan meruncing akibat sekatan haram Israel sejak 2007.

Dalam perkembangan lain, kerajaan sementara Mesir mendedahkan bahawa mereka telah memusnahkan 1,370 terowong rahsia yang menghubungkan sempadan negara itu dengan Genting Gaza.

Tindakan pihak berkuasa Mesir tersebut turut menjejaskan hubungan bersama Hamas selain menyebabkan kira-kira 1.7 juta penduduk Gaza terpaksa hidup menderita selepas laluan utama yang digunakan untuk urusan harian musnah sejak Julai lalu.

Selatan Israel dihujani roket


Serangan Palestin itu menyebabkan ribuan penduduk Israel bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri. 
Ia dianggap serangan terbesar pejuang Palestin sejak November 2012 yang menyebabkan pertempuran lapan hari antara Israel dan Hamas. 

Bagaimanapun, tiada kecederaan dialami mana-mana pihak dalam serangan terbaru itu, malah sekolah turut beroperasi seperti biasa.
Foto
SEORANG anggota tentera Zionis membetulkan kedudukan mesingannya di atas kenderaan di Nahal Oz, berhampiran sempadan Gaza, semalam. Keadaan di wilayah Palestin itu semakin tegang apabila pejuang Palestin dan tentera Israel berbalas serangan.

Jurucakap tentera Israel berkata, pejuang Palestin melepaskan lima roket, namun hanya satu mengenai kawasan milik Israel tanpa menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan.

Menurutnya, lebih 60 roket dibedil menyasarkan selatan Israel sejak rejim itu melancarkan serangan Rabu lalu, malah lima daripadanya mengenai kawasan yang berpenduduk. 

Terdahulu, pesawat Israel mengebom 29 sasaran di Gaza, termasuk pangkalan digunakan pejuang Hamas dan sayap bersenjata Jihad Islam, Briged Quds. 

Jihad Islam mengakui bertanggungjawab bagi semua serangan roket berkenaan. 

Jurucakap Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeina berkata, serangan udara Israel yang bermula sekitar jam 8.30 malam (waktu tempatan) menimbulkan kemarahan pemimpin Palestin itu yang menuntut Israel berhenti menyerang Semenanjung Gaza. 

Menjelang petang semalam, Jihad Islam mendakwa sudah melepaskan sekurang-kurangnya 90 roket terhadap Israel. 

Tindakan itu bagi membalas serangan udara Israel Selasa lalu yang mengakibatkan tiga pejuang maut di Gaza.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14