Friday 14 March 2014

Israel serang Genting Gaza

Israel serang Genting Gaza
Sebanyak 29 kawasan di Gaza menjadi sasaran serangan udara terbaharu rejim Zionis. 
14 Mac 2014

GENTING GAZA - Pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara dengan menyasarkan 29 kawasan termasuk pangkalan Hamas dan kumpulan sayap bersenjata Jihad Islam, Briged al-Quds di wilayah tersebut sejak kelmarin.

Bagaimanapun menurut Press TV, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden terbabit.

Difahamkan, serangan balas itu dibuat kononnya selepas kumpulan militan mengaku membedil sekurang-kurangnya 90 roket ke Israel sebagai respons terhadap serangan udara yang membunuh tiga anggota mereka di selatan Gaza, Selasa lalu.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menggesa Israel supaya menghentikan tindakan agresif ke atas Gaza.

Jurucakap beliau, Nabil Abu Rudeina berkata, Mahmoud turut meminta rejim Zionis tidak meningkatkan lagi ketegangan di Genting Gaza yang kini dilanda krisis kemanusiaan meruncing akibat sekatan haram Israel sejak 2007.

Dalam perkembangan lain, kerajaan sementara Mesir mendedahkan bahawa mereka telah memusnahkan 1,370 terowong rahsia yang menghubungkan sempadan negara itu dengan Genting Gaza.

Tindakan pihak berkuasa Mesir tersebut turut menjejaskan hubungan bersama Hamas selain menyebabkan kira-kira 1.7 juta penduduk Gaza terpaksa hidup menderita selepas laluan utama yang digunakan untuk urusan harian musnah sejak Julai lalu.

No comments:

Post a Comment