Thursday 30 October 2014

Wahai ummat islam sedunia!


Masjid Al-Aqsa buat pertama kalinya semenjak Baitulmaqdis dirampas telah ditutup sepenuhnya dengan arahan pihak Zionis sejak malam semalam.
Di mana suara ummat yang mempertahankan Masjid Al-Aqsa ini!?
Lihatlah sekitar Masjid Al-Aqsa yang kosong tanpa ada seorang muslim pun yang mengimarahkannya. Gambar ini bar sahaja diambil sebentar tadi.
Bangkitlah wahai ummat!
Sumber : Shehab News Agency

Situasi terkini Baitul Makdis & Masjid Al-Aqsa

Terkini | 
oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, Pengerusi Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE)
- Hampir 5 dekad Baitul Makdis dijajah oleh Israel
- Ketika ini Menteri Agama Israel dan knesset (Parlimen Israel) sedang merangka pelan pembahagian Masjid Al-Aqsa kepada 2 bahagian.
- Kita tidak mahu perkara ini berulang seperti apa yg terjadi di Masjid Ibrahim di Hebron apabila Masjid dibahagi kepada 2
- Rakyat Malaysia berjaya membantu isu Gaza tetapi kita harus tahu isu utama kebangkitan rakyat Gaza adalah mempertahankan Masjid Al-Aqsa
- Manfaatkan medium sosial untuk bina momentum kempen Selamatkan Al-Aqsa
- Kita harus libatkan seluruh rakyat Malaysia dalam isu ini kerana isu ini merupakan isu kemanusiaan sejagat.

Khabar Dari Al-Aqsa


Masjid Al-Aqsa ditutup sehingga notis seterusnya dikeluarkan.
Institusi Wakaf Dan Warisan Al-Aqsa memberi amaran keras tentang keputusan yang dikeluarkan oleh Menteri Keselamatan Dalaman Israel, Yitzhak Aharonovich malam semalam agar Masjid Al-Aqsa ditutup sepenuhnya sehingga notis seterusnya dikeluarkan.
Pihak institusi berkata lagi bahawa keputusan ini merupakan satu resolusi yang bahaya sejak Masjid ini dirampas dan kejatuhan Jerusalem, dan ini merupakan satu bukti yang jelas bahawa Masjid Al-Aqsa telah memasuki satu peringkat baru dan lebih kompleks.
Muazzin Masjid Al-Aqsa juga telah dihalang daripada memasuki masjid bagi melaungkan azan.
Sumber : Shehab News Agency

Polis Israel sejak awal pagi tadi telah menutup keseluruhan Masjid al-Aqsa

Solat Subuh di Masjid al-Aqsa pagi tadi hanya dihadiri 8 orang ahli kariah (termasuk imam).30 Okt - Polis Israel sejak awal pagi tadi telah menutup keseluruhan Masjid al-Aqsa buat pertama kali sejak ia berjaya merampas Baitulmaqdis (Jerusalem) dalam Perang Arab-Israel 1967.
Tindakan ini diambil berikutan cubaan bunuh ke atas Yehuda Glick, pengerusi Temple Mount Heritage Foundation malam tadi ketika ia dalam perjalanan pulang dari sebuah konferens di Menachem Begin Heritage Center di Jerusalem. Beliau adalah aktivis Yahudi yang paling lantang bersuara meminta supaya kerajaan Israel membahagikan Masjid al-Aqsa kepada dua - sebahagian untuk muslim dan sebahagian lagi untuk Yahudi.
Penutupan ini telah menyebabkan Masjid al-Aqsa menjadi lengang sehingga solat Subuh di masjid itu awal pagi tadi hanya dihadiri 8 orang jemaah termasuk imam.
Rakyat Palestin yang dihalang masuk ke Masjid al-Aqsa telah bertindak menunaikan kewajipan mereka di lorong-lorong masuk ke masjid itu.
Rakyat Palestin yang tidak dapat masuk ke Masjid al-Aqsa bertindak menunaikan solat di lorong-lorong di Baitulmaqdis/Jerusalem.Yehuda Glick, Pengerusi Temple Mount Heritage Foundation yang lantang menyuarakan hak Yahudi ke atas Masjid al-Aqsa (The Temple Mount bagi Yahudi).Situasi di Masjid al-Aqsa semakin genting dari hari ke hari sejak awal Oktober apabila Aidil Adha tahun ini bertembung dengan perayaan purba Yahudi, Sukkot. Kumpulan ektremis Yahudi telah cuba menceroboh masuk ke Masjid al-Aqsa dalam cubaan menghidupkan semula perayaan purba mereka bagi menguatkan lagi tuntutan mereka ke atas pembahagian masjid tersebut.Seorang warga emas Palestin mempersoalkan tindakan polis Israel menghalang beliau untuk masuk ke Masjid al-Aqsa.

PBB diminta desak Israel henti pembinaan di timur Baitulmaqdis

Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di Geneva semalam membincang perancangan Israel untuk membina lebih banyak rumah baharu di kawasan pendudukan Palestin. - Foto AP
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Palestin menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mendesak Israel agar membatalkan segera hasratnya untuk membina lebih banyak rumah di kawasan pendudukan Yahudi, pada mesyuarat tergempar bagi meredakan ketegangan di timur Baitulmaqdis.
Majlis keselamatan 15 anggota itu mengadakan pertemuan semalam atas permintaan Jordan selepas Israel mengumumkan rancangannya Isnin lalu untuk membina 1,000 rumah baharu di timur Baitulmaqdis - di kawasan yang dianggap oleh rakyat Palestin sebagai ibu negara masa depan mereka.
"Israel sebagai pihak yang menceroboh, mesti didesak supaya menghentikan dengan serta-merta dan sepenuhnya semua aktiviti haram pendudukannya di seluruh wilayah Palestin, termasuk di timur Baitulmaqdis," kata Duta Palestin, Riyad Mansour pada mesyuarat itu.
Mesyuarat berkenaan tidak merumuskan sebarang resolusi ataupun mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya yang mengutuk Israel.
Namun Israel tetap diberikan kecaman oleh beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, yang mahukan tindakan sebelah pihaknya dihentikan termasuk perluasan kawasan pendudukan.
"Tindakan untuk memperluaskan aktiviti pendudukan akan hanya meningkatkan ketegangan yang sudah cukup tegang," kata wakil Amerika Syarikat, David Pressman.
Duta Britain, Mark Lyall Grant memberi amaran bahawa pembinaan rumah Yahudi yang sedang dilakukan di wilayah Palestin menyebabkan sukar bagi rakan Israel mempertahankannya daripada tuduhan yang ia tidak serius untuk mencapai perdamaian. - AFP

UN DPA dedah rancangan jahat Israel


MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH | .
PKPIM menyatakan kekesalan terhadap sikap dan tindakan para pemimpin Israel yang terus-menerus melakukan pencerobohan secara sistematik dan terancang ke atas bumi Palestin. Bukan sekadar itu sahaja, Israel kini sedang merencanakan usaha merampas Masjid al-Aqsa iaitu Tanah Suci ketiga umat Islam, dan juga merupakan tapak warisan peradaban antara tertua di dunia.

Kami merujuk kenyataan Jeffrey Feltman, Ketua Jabatan Perhubungan Politik Pertubuhan Bangsa Bersatu (United Nation Department of Political Affair – UN DPA) semalam yang menggesa Israel menghentikan rancangannya untuk membina 1000 lagi penempatan baharu di Timur Jerusalem. Menurut beliau, pembinaan penempatan baharu ini adalah pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan kontradik dengan pelan “two-states solution”.

Dalam masa yang sama, usaha penggalian bawah tanah di dalam kompleks Masjid al-Aqsa sedang giat dijalankan oleh pihak Israel. Beberapa insiden pencerobohan golongan ekstrimis agama Yahudi ke dalam kawasan Masjid al-Aqsa juga semakin kerap berlaku. Lebih mengecewakan apabila pencerobohan ini direstui oleh pimpinan Israel dan disokong oleh pihak bersenjata Israel.

PKPIM mengutuk keras tindakan dan sikap angkuh para pimpinan Israel yang sesuka hati mencabuli undang-undang dunia. Sememangnya Israel terkenal dengan kesombongannya dan sewenang-wenangnya memperlakukan Palestin. Luka di hati masyarakat dunia masih belum sembuh pasca peristiwa serangan Israel ke atas Gaza beberapa bulan yang lalu, kini Israel mencipta onar lagi.

Pencerobohan seperti ini bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah Palestin. Pada tahun 1994, di Bandar Al-Khalil (Hebron), Masjid Ibrahimi telah dicerobohi oleh seorang pelampau Yahudi yang masuk ke masjid dan melepaskan tembakan rambang sehingga menyebabkan kematian puluhan jemaah yang sedang bersolat, manakala ratusan yang lain turut cedera. Apa yang berlaku kini, Masjid Ibrahimi di Bandar al-Khalil dibahagi kepada dua bahagian; satu bahagian untuk umat Islam, dan satu lagi untuk umat Yahudi.

Ini tidak dapat diterima akal. Orang Yahudi punya tempat ibadat yang tersendiri, mengapa menceroboh tempat ibadat penganut agama lain? Jelas, ini pencabulan terhadap prinsip dan hak kebebasan beragama yang sewajarnya dihormati secara bersama oleh seluruh penduduk dunia.

Justeru, PKPIM menyeru masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat dunia amnya, untuk bersama-sama bersatu menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan mempertahankan hak kaum tertindas. Penjajahan Israel ke atas Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang, dan Kuasa Besar dunia hanya mendiamkan diri sahaja atas kezaliman nyata yang dilakukan. Justeru, kita sebagai rakyat dan penduduk dunia yang akan menghakimi Israel!

PKPIM dan seluruh badan gabungan kami juga menyatakan sokongan padu terhadap NGO Malaysia yang dibentuk untuk kempen Selamatkan al-Quds yang terdiri daripada pertubuhan antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Permuafakatan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM), Aqsa Syarif, Aman Palestin, Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dan lain-lain. NGO ini telah mengeluarkan kenyataan media mereka semalam dalam sidang media yang berlangsung di Wisma Bernama.

Dengan ini, PKPIM sekali lagi menyatakan sikap dan pendirian kami menolak sebarang usaha pembinaan penempatan haram Israel dalam kawasan Jerusalem. Kami juga menolak dan membantah tindakan pencerobohan golongan yahudi ke dalam kawasan Masjidil Aqsa dan usaha keji mereka melakukan penggalian bawah tanah di kawasan tersebut yang bakal merosakkan struktur tapak warisan peradaban dunia ini.

PKPIM sekali lagi menyeru masyarakat Malaysia menyokong usaha dan kempen menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan mengenakan tekanan global terhadap Israel dan sekutu kuat mereka. Sekiranya sebahagian masyarakat Eropah dan Amerika Latin berusaha memberi tekanan dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin, apakah kita masih terus berdiam diri?

Sesungguhnya perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan adalah tugas kita bersama. Palestin akan dibebaskan suatu hari nanti. –HARAKAHDAILY 30/10/2014

Membahagikan Masjid Al-Aqsa Boleh Cetuskan Konflik Terbaharu - NGO


Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 6:59 AM
Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR: Hasrat Israel untuk membahagikan kawasan Masjid Al-Aqsa antara orang Islam dan Yahudi mungkin akan menyebabkan tercetusnya konflik terbaharu di Palestin serta membangkitkan kemarahan umat Islam, demikian peringatan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia.

Pengarah Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia Dr Mohammad Makram berkata Parlimen Israel (Knesset) kini bercadang memperkenalkan rang undang-undang baharu, jika diluluskan ia akan membenarkan orang Yahudi bersembahyang di dalam masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, selain menetapkan tempat tarikh tertentu untuk mereka berbuat demikian.

"Selama 1,300 tahun lalu Masjid Al-Aqsa menjadi tempat orang Islam beribadat dan ia kekal begitu, bukan kerana kita mahu memonopolinya. Ia dibuka kepada semua budaya dan agama, tetapi kita tidak membenarkan sesiapa untuk mengambil alih tempat suci kami (Masjid Al-Aqsa)," katanya dalam sidang media pada taklimat mengenai perkembangan terbaharu Masjid Al-Aqsa di Wisma Bernama.

"Sejak tiga bulan lepas, terdapat pertempuran berterusan antara pihak berkuasa Israel dan rakyat Palestin dengan hampir setiap hari ada rakyat Palestin yang terbunuh," katanya.

Mohammad mendakwa 400 pendatang Yahudi menyerbu masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa baru-baru ini dan melakukan tarian Talmud dan bersembahyang sambil diawasi tentera Israel.

Menurut beliau, Timbalan Speaker Parlimen Israel Moshe Feiglin dan kalangan golongan elit Israel yang berkuasa sebelum ini juga telah mencadangkan agar Masjid Al-Aqsa dirobohkan bagi membina sebuah tempat ibadat Yahudi di situ.

Dr Mohammad memberi amaran bahawa ketegangan di kawasan itu mungkin meningkat mencetuskan Intifada ketiga (pemberontakan) jika Israel terus menyerang Masjid Al-Aqsa dan kawasannya.

Intifada kedua berlaku pada September 2000 selepas Perdana Menteri Israel Ariel Sharon ketika itu melawat kawasan berkenaan.

"Orang ramai perlu difahamkan, apabila kita bercakap mengenai kesucian Masjid Al-Aqsa, kita bercakap mengenai seluruh kawasan itu, bukan masjid itu sahaja. Sama seperti kita bercakap tentang Kaabah, kawasan sekitar Masjidil Haram (di Makkah) adalah suci kepada kita," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah wakil 16 NGO lain termasuka Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).

Pengerusi MyCARE (sebelum ini Aqsa Syarif) Dr Hafidzi Mohd Noor berkata hak eksklusif umat Islam untuk masjid ini diiktiraf Liga Bangsa Bersatu, organisasi antarabangsa pertama untuk mengekalkan keamanan dunia sebelum kewujudan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan ini seharusnya dihormati oleh semua.

Dr Hafidzi menjelaskan, sebelum campur tangan pihak Zionis, umat Islam,Kristian dan Yahudi hidup dengan aman di Jerusalem dengan ketiga-tiga agama itu menganggap ia sebagai kota suci.

Bagaimanapun, keadaan berubah setelah Jerusalem diduduki oleh Israel pada 1967, dengan Israel secara terus-menerus cuba untuk memonopoli bandar, menjejaskan bukan sahaja umat Islam malah penganut Kristian yang tinggal dibandar itu.

Ini katanya, adalah pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia dan tidak hanya melibatkan umat Islam. Dr Hafidzi juga menyatakan bahawa pada 1980, Israel mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu kota Israel, meskipun resolusi PBB menyatakan perbuatan itu menyalahi undang-undang.

"Namun, perkara ini disahkan oleh Amerika Syarikat (Jerusalem sebagai ibunegeri, Israel)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Hubungan Politik PCOM Abdullah Aqrabawi berkata sebagai rakyat Palestin, beliau berharap Malaysia akan terus menyuarakan sokongan terhadap masalah ini selama tempoh menduduki kerusi wakil tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) dari 2015-2016 untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa. 

Pejuang Hizbullah gali terowong


Baitulmaqdis: Israel percaya pejuang Hizbullah menggali terowong bawah tanah melintasi sempadan dari Lubnan sebagai persediaan jika perang tercetus lagi.
Bagaimanapun, seorang jeneral tentera yang membuat dakwaan itu berkata, dia tidak memiliki bukti mengenainya.
Komander tentera di sempadan Israel Lubnan dan Syria Jeneral Yair Golan berkata, walaupun tiada maklumat positif mengenainya, mereka percaya menggali terowong bawah tanah bukan asing kepada Hizbullah atau Lubnan.
“Kami perlu menjangkakan terowong itu dibina dan kami perlu bersedia,” katanya.
Israel terdedah kepada ancaman dari terowong bawah tanah ketika rejim Zionis itu berperang dengan Hamas di Gaza pada Julai dan Ogos lalu.
Konflik bermula daripada saling berbalas tembakan roket meningkat kepada pertempuran darat selepas pejuang Hamas menggunakan laluan rahsia itu untuk melakukan serbuan mengejut di dalam Israel.
- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:20 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5258#sthash.C27UO4J6.dpuf

24,000 penjawat awam di Gaza terima gaji

Sebahagian daripada ratusan penjawat awam yang menyerbu
sebuah pejabat pos di Gaza untuk menerima gaji mereka semalam.
GAZA – Seramai 24,000 penjawat awam yang bekerja di bawah pentadbiran pergerakan Hamas mula menerima gaji mereka semalam selepas hampir setahun tidak mendapat gaji penuh.
Gaji itu dibayar oleh kerajaan perpaduan baharu Palestin yang beribu pejabat di Tebing Barat selepas menerima dana daripada kerajaan Qatar yang merupakan sekutu Hamas.
Dana yang diberi secara tunai kepada kerajaan Palestin tersebut diharap dapat merapatkan hubungan antara pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza dan kumpulan Fatah yang memerintah Tebing Barat.
Kedua-dua kumpulan yang sering bertelagah tersebut menandatangani satu perjanjian untuk membentuk kerajaan perpaduan pada Jun lalu selepas melalui rundingan penyatuan yang membabitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Terdahulu, beberapa buah kenderaan yang membawa wang tunai berkenaan bergerak dari Tebing Barat dan melalui Israel sebelum masuk ke Genting Gaza.
Beribu-ribu penjawat awam beratur di beberapa buah pejabat pos di Gaza sejak awal pagi lagi untuk mengambil gaji mereka yang berjumlah kira-kira AS$1,200 (RM3,925).
“Saya akan menggunakan wang ini untuk membayar hutang. Saya perlu membayar sewa rumah, bil elektrik dan air yang tertangguh termasuk membeli makanan,” kata seorang pekerja kesihatan, Mahmoud Al-Serhy. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3HZfhs0He 
Hakcipta terpelihara