Thursday 30 October 2014

PBB diminta desak Israel henti pembinaan di timur Baitulmaqdis

Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di Geneva semalam membincang perancangan Israel untuk membina lebih banyak rumah baharu di kawasan pendudukan Palestin. - Foto AP
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Palestin menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mendesak Israel agar membatalkan segera hasratnya untuk membina lebih banyak rumah di kawasan pendudukan Yahudi, pada mesyuarat tergempar bagi meredakan ketegangan di timur Baitulmaqdis.
Majlis keselamatan 15 anggota itu mengadakan pertemuan semalam atas permintaan Jordan selepas Israel mengumumkan rancangannya Isnin lalu untuk membina 1,000 rumah baharu di timur Baitulmaqdis - di kawasan yang dianggap oleh rakyat Palestin sebagai ibu negara masa depan mereka.
"Israel sebagai pihak yang menceroboh, mesti didesak supaya menghentikan dengan serta-merta dan sepenuhnya semua aktiviti haram pendudukannya di seluruh wilayah Palestin, termasuk di timur Baitulmaqdis," kata Duta Palestin, Riyad Mansour pada mesyuarat itu.
Mesyuarat berkenaan tidak merumuskan sebarang resolusi ataupun mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya yang mengutuk Israel.
Namun Israel tetap diberikan kecaman oleh beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, yang mahukan tindakan sebelah pihaknya dihentikan termasuk perluasan kawasan pendudukan.
"Tindakan untuk memperluaskan aktiviti pendudukan akan hanya meningkatkan ketegangan yang sudah cukup tegang," kata wakil Amerika Syarikat, David Pressman.
Duta Britain, Mark Lyall Grant memberi amaran bahawa pembinaan rumah Yahudi yang sedang dilakukan di wilayah Palestin menyebabkan sukar bagi rakan Israel mempertahankannya daripada tuduhan yang ia tidak serius untuk mencapai perdamaian. - AFP

No comments:

Post a Comment