Thursday 15 August 2013

palestin

palestin

Free the Palestinian political prisoners!

Kumpulan pertama tahanan Palestin dibebaskan


Lelaki Palestin yang ditahan selama 20 tahun oleh Israel, Ateya Abu Moussa, memeluk bapanya sebaik-baik tiba di rumahnya di Khan Younis, selatan Genting Gaza, semalam. - REUTERS
RAMALLAH 14 Ogos - Israel hari ini membebaskan 26 tahanan Palestin, beberapa jam sebelum kedua-dua pihak mengadakan rundingan damai secara langsung ketika Israel semakin rancak meningkatkan rancangan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Seramai 15 daripada 26 tahanan yang dibebaskan memasuki Genting Gaza pada pukul 1.40 pagi waktu tempatan (6.40 pagi waktu Malaysia) dan disambut oleh saudara mara mereka.

Pada masa yang sama, 11 lagi tahanan tiba di Ramallah, disambut Presiden Mahmoud Abbas beserta penyokongnya.

"Ini adalah kumpulan pertama yang dibebaskan dan kita akan pastikan kesemua tahanan dibebaskan daripada penjara-penjara Israel," katanya.

Kesemua tahanan yang dibebaskan itu merupakan kumpulan pertama daripada 104 tahanan yang akan dibebaskan secara berperingkat, sebagai sebahagian daripada persetujuan yang dicapai untuk menyambung semula rundingan damai antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, rundingan damai hari ini dijangka memberi fokus terhadap rancangan Israel untuk membina lebih banyak penempatan haram di tanah milik Palestin.

Semalam, Israel meluluskan pembinaan hampir 1,000 unit kediaman baharu penduduk Yahudi di timur Baitulmaqdis, sekali gus menimbulkan ragu-ragu di kalangan penduduk Palestin berhubung rundingan damai yang akan dilakukan.

Pegawai kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Abed Rabbo berkata, kelulusan itu secara tidak langsung akan 'merosakkan' rundingan damai yang dirancang.

Sementara itu, Menteri Perumahan Israel, Uri Ariel hari ini berkata, kerajaan akan membina beribu-ribu lagi penempatan Yahudi di Tebing Barat pada masa akan datang. - AFP



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130815/lu_05/Kumpulan-pertama-tahanan-Palestin-dibebaskan#ixzz2bzbvLFRn
© Utusan Melayu (M) Bhd