Jurucakap Kementerian Pertahanan yang berurusan dengan pihak berkuasa Gaza, COGAT, Mejar Jeneral Yoav Mordechai dalam kenyataannya berkata, langkah tersebut dikuatkuasakan sejak semalam dan akan dilaksanakan sepanjang minggu ini sahaja.
Jelas beliau, pembatalan permit itu dilaksanakan atas faktor ke­selamatan di kawasan sempadan kedua-dua wilayah yang tidak stabil disebabkan beberapa serangan roket dari wilayah Gaza.
“Pergerakan Hamas bertanggungjawab terhadap pembatalan permit untuk penduduk Palestin di Gaza menunaikan ibadah tarawih di Masjid al-Aqsa sempena Ramadan.
“Saya tidak menuduh Hamas melancarkan roket berkenaan, tetapi pergerakan terbabit perlu bertanggungjawab kerana mereka menguasai wilayah Gaza,” katanya.
Sementara itu, anggota Majlis Perbandaran Baitulmaqdis, Meir Margalit Meretz berkata, pihak berkuasa Israel berlaku tidak adil kerana menghukum pihak yang tidak bersalah.
“Situasi di Gaza sangat menyedihkan kerana penduduknya tidak mempunyai sebarang harapan selain hidup dalam keadaan begitu daif. Sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup, mereka dibenarkan datang ke Baitulmaqdis untuk beribadah di Masjid al-Aqsa, kerana kita sedar pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan roket ke wilayah Israel tidak ada kena-mengena dengan penduduk Gaza,” katanya. – AFP