Thursday 18 April 2013

Israel tahan rakyat Palestin kibar bendera

Israel tahan rakyat Palestin kibar bendera
Israel tahan rakyat Palestin kibar bendera
BETHLEHEM - Pihak berkuasa  Israel menahan lima rakyat Palestin selepas didakwa mengibarkan  bendera Palestin ketika mereka berada di dalam kereta di Baitulmuqaddis.

Media tempatan melaporkan, dua daripada mereka dibebaskan dengan ikat jamin 5,000 Shekel (RM4,200) dan diberi amaran supaya tidak mengibarkan bendera negara itu pada Hari Kemerdekaan Israel, manakala tiga yang lain dibebaskan.

“Israel mendakwa kibaran bendera itu satu penghinaan dan sindiran serta menyalahi undang-undang negara,” menurut laporan itu.

Sementara itu, lapan penduduk Palestin yang menaiki motosikal turut didenda 250 Shekel (RM210)  atas kesalahan yang sama.

Memetik laporan PNN, seorang penduduk Palestin berkata, mereka tidak mengibarkan bendera sebaliknya, lambang bendera  Palestin itu adalah pelekat stiker yang ditampal pada kenderaan mereka sejak tiga tahun lalu.
Israel mengambil tindakan drastik dengan menyaman mana-mana individu mengibarkan bendera selain daripada bendera Israel sepanjang minggu hari kemerdekaan negara itu.

As-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi (23 Oktober 1947-17 April 2004)



Pada 17 April 2004 pulanglah seorang syahid menemui Kekasih yang didambakan. Satu tribute untuk as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi.

Kita sering tercari-cari siapakah di kalangan manusia pada hari ini yang pantas dijadikan contoh ikutan dalam perjuangan menegakkan kalimah al-Haq. Kita mahu mencontohi beliau baik dari sisi istiqamahnya, baik dari segi tsabatnya, baik dari segi jihad, kesungguhan dan pengorbanannya. Nah! Salah seorang dari insan yang pernah memiliki sifat-sifat ini ialah as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi. Pada 17 April 2004 ini genaplah enam tahun as-Syahid meninggalkan kita semua. Beliau dibedil oleh helicopter Apache Zionis Israel dengan peluru berpandu Hellfire yang juga telah mengambil nyawa as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin dua puluh enam hari lebih awal.

Sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah kerana menziarahi keluarga selepas waktu isya, beliau dengan hati penuh harap berkata ‘Semuga Engkau masukkan kami ke dalam syurga mu Ya Allah. Inilah puncak harapanku..” Tidak beberapa langkah dia meninggalkan rumah, kedengaranlah bunyi ledakan. Ternyata helicopter Apache telah siap menunggu dan menganugerahkan apa yang didambakan oleh as-Syahid. “Ia adalah kematian samada dengan pembunuhan atau barah. Tidak ada yang berubah samada dengan Apache atau sakit jantung. Dan aku memilih Apache..” Bukti bahawa as-Syahid gembira dengan anugerah ini tergambar dari senyuman yang menguntum dari bibirnya dan darah yang terus mengalir setelah 24 jam beliau syahid yang menghamburkan bau harum kasturi. Semua yang hadir menziarahi jenazah as-syahid yang mulia melihat kebesaran Allah dan benarnya janji Allah dan Rasulnya. “Jangan kamu menyangka mereka yang mati syahid itu mati, bahkan mereka hidup dan diberi rezeki, hanya kamu tidak mengetahuinya.”

3,000 tahanan Palestin lancar mogok lapar



RAMALLAH 18 April - Kira-kira 3,000 tahanan Palestin di penjara-penjara Israel enggan menjamah sarapan pagi yang disediakan sebagai melancarkan mogok lapar selama sehari bagi menyambut ulang tahun pertama Hari Penjara, semalam.
Selain itu, kumpulan hak asasi manusia melaporkan, seramai 4,713 rakyat Palestin di seluruh negara mengadakan perarakan sebagai tanda sokongan mereka terhadap kesemua tahanan yang ditempatkan di penjara rejim Zionis.
Di Tebing Barat, kira-kira 600 ahli keluarga tahanan Palestin mengadakan bantahan di Dataran Arafat di tengah Ramallah dan merancang untuk berarak di penjara tentera Israel di Ofer.
Hari Penjara merupakan simbolik kepada pembebasan tahanan Palestin, Khader Adnan pada tahun lalu selepas melancarkan mogok lapar selama 66 hari sebagai membantah tindakan Israel menahannya tanpa sebab. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130418/lu_02/3000-tahanan-Palestin-lancar-mogok-lapar#ixzz2QldFIllY
© Utusan Melayu (M) Bhd