Polis Israel menahan seorang lelaki Palestin ketika membantah pencerobohan Yahudi di Masjid al-Aqsa. |
Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal berkata, penduduk Palestin perlu bangkit bagi membantah pembinaan penempatan baharu dan percubaan rejim Zionis merampas Baitulmaqdis.
Penduduk Palestin sebelum ini bertegas untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota, sebaik sahaja menjadi negara bebas pada masa hadapan.
"Kami akan menggagalkan rancangan Israel menerusi pemberontakan. Penjajahan ini mesti berakhir," katanya kepada akhbar al-Sharq yang berpangkalan di Qatar.
Pada masa sama, Meshaal menegaskan tanggungjawab melindungi dan mempertahankan Masjid al-Aqsa, yang merupakan rumah ibadat ketiga suci bagi umat Islam selepas Masjidilharam dan Masjidil Nabawi adalah tanggungjawab seluruh umat Islam.
Katanya, negara Islam terutamanya Arab Saudi, Mesir dan Jordan perlu melindungi tapak suci itu.
"Al-Aqsa dalam bahaya. Rejim Zionis terus mencemari masjid itu dengan pelbagai bentuk serangan seperti membakar dan mengebom, sama ada secara peribadi atau berkumpulan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang penduduk Palestin cedera parah selepas bertempur dengan pasukan keselamatan Israel di timur Baitulmaqdis, kelmarin.
Menurut media tempatan, pertempuran tercetus apabila polis Israel menyerbu demonstrasi dianjurkan penduduk bagi membantah pembunuhan seorang remaja Palestin oleh rejim Zionis, minggu lalu. - Press TV