AFP - Hanan menerima trofi anugerah guru terbaik dunia dari Sheikh Mohammed Rashid di Dubai pada Ahad lalu.
RAMALLAH, Tebing Barat – Sekolah-sekolah di seluruh wilayah Palestin mengadakan sambutan kelmarin selepas seorang wanita dari Tebing Barat dinamakan sebagai guru terbaik dunia.
Hanan Hroub dari kem pelarian Dheisheh di Baitulaham menerima anugerah itu, Global Teacher Prize 2016 dalam satu majlis di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Ahad lepas.
Hanan yang mengajar murid-murid darjah dua terpilih daripada 10 finalis. Anugerah yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.14 juta) itu dianjurkan Yayasan Varkey di London. Yayasan itu dinaungi pemerintah UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum.
Pelajar dan guru sekolah-sekolah di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur kelmarin meraikan Hanan dengan bercakap tentang kaedah pengajarannya yang menggunakan pendekatan tanpa kekerasan, kepercayaan, hormat dan ganjaran.
“Kanak-kanak mempunyai hak untuk bermain,” kata Ketua Gereja Katholik, Pope Francis yang mengumumkan pemenang anugerah itu dalam satu siaran video dari Vatican.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Hanan Hroub,” ujarnya.
Pengumuman itu disambut sorakan beratus-ratus penduduk Palestin yang berhimpun di Ramallah.
“Anak-anak kami mahu hidup aman dan bebas sama seperti kanak-kanak lain di seluruh dunia,” kata Hanan, 43 dalam ucapan kemenangannya. – dpa
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0316&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz439YpJa52
Hakcipta terpelihara