Jenazah Ruqayya Abu Eid (kiri) terbujur kaku di atas jalan raya selepas remaja Palestin itu ditembak mati di penempatan haram Anaton, Tebing Barat, kelmarin. AGENSI
RAMALLAH 24 Jan. - Seorang remaja perempuan Palestin berusia 13 tahun ditembak mati ketika didakwa cuba menikam seorang pengawal keselamatan Israel di sebuah penempatan haram penduduk Yahudi di Tebing Barat, semalam.
Insiden tersebut berlaku selepas dua insiden tikaman lain dilapor melibatkan beberapa remaja Palestin di kawasan penempatan lain.
Jurucakap polis Israel, Luba Samri berkata, siasatan awal menunjukkan remaja perempuan yang dikenali sebagai Ruqayya Abu Eid itu pada mulanya dipercayai bergaduh dengan keluarganya sebelum keluar dari rumah bersama sebilah pisau.
“Remaja yang memegang pisau itu berlari ke arah pengawal keselamatan di pintu masuk ke penempatan Anatot, lalu ditembak mati anggota keselamatan tersebut sebagai mempertahankan diri,” dakwa Samri.
Katanya, bapa remaja itu turut ditahan sejurus tiba di lokasi kejadian.
Insiden juga sempat dirakam, dengan televisyen Israel menyiarkan rakaman menunjukkan seorang pengawal bersenjata sedang membuat kawalan di pintu masuk penempatan Anatot sebelum didatangi remaja yang memegang objek tajam dipercayai sebilah pisau.
Ibu remaja itu, Reeda Abu Eid bagaimanapun menafikan berlaku pergaduhan antara Ruqayya dan keluarga sehingga menyebabkan gadis tersebut meninggalkan rumah.
“Bapanya bekerja di ladang. Apabila dia tiada di rumah, saya menyangka dia mengikut bapanya.
“Dia hanyalah seorang remaja. Bagaimana dia boleh menikam orang?,” kata ibunya yang mempersoalkan kejadian tersebut.
Sejak awal Oktober lalu, tentera Israel telah membunuh 149 penduduk Palestin dengan 95 daripadanya didakwa cuba menyerang anggota pasukan keselamatan rejim tersebut. – REUTERS