Tuesday 7 April 2015

IS sasar pelarian Palestin

Beirut: Sebuah kem pelarian Palestin di Damsyik terus menjadi sasaran serangan militan Negara Islam semalam, kejadian yang diselar sebagai tidak berperikemanusiaan oleh pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Aktivis Hatem al-Dimashqi yang berpangkalan di selatan Damsyik berkata, kem Yarmouk diserang semalam. Hatem dan Badan Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) berkata, tentera kerajaan Syria turut melepaskan bom tong di kem itu sejak Ahad.
Militan Negara Islam (IS) menyerbu kem itu Rabu lalu. Pihak berkuasa Palestin dan aktivis Syria berkata IS turut bekerjasama dengan Barisan al-Nusra.
Dua kumpulan itu sebelum ini bersaing, namun nampaknya bekerjasama dalam serangan ke atas Yarmouk.
Barisan al-Nusra dalam satu kenyataan berkata, ia berkecuali berhubung isu kem itu.
Sementara itu, jurucakap Agensi Bantuan dan Pekerjaan bagi pelarian Palestin (UNRWA) Chris Gunness berkata, sehingga lewat kelmarin pihaknya tidak dapat menghantar makanan atau konvoi ke kem berkenaan sejak pertempuran bermula.
“Mereka di kem itu tiada makanan, air dan kekurangan bekalan ubat.
“Keadaan di kem itu terlalu menyedihkan, orang ramai terpaksa berlindung di dalam rumah sementara pertempuran berlaku di jalanan.
“Keadaan tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan dan orang awam dipindahkan,” katanya.
Menurutnya, 93 orang sudah dipindahkan dari kem itu setakat ini.
PBB berkata, kira-kira 18,000 orang awam termasuk sebahagian besarnya kanak-kanak kini terperangkap di Yarmouk.
Kem itu dikepung tentera kerajaan sejak dua tahun lalu dan penduduknya diselubungi kebuluran serta penyakit.
Kem terbabit turut melihat pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan militan.
“Keadaan sudah sedia teruk namun semakin buruk selepas pertempuran mula memasuki kem,” kata Gunness. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:05 AM


KEMUSNAHAN yang berlaku di kem pelarian Palestin Yarmouk, berhampiran Damsyik selepas diserang oleh militan IS sejak beberapa hari lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/41958#sthash.ha9ElhcP.dpuf

Israel berasa terancam


Israel berasa terancam
Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini (kiri) bersama Menteri Luar Iran, Javad Zarif bercakap ketika sidang media di Lausanne. Foto: AFP
TEL AVIV - ISRAEL. Rejim Israel didakwa berasa terancam selepas rundingan nuklear Iran bersama negara P5+1 (China, Perancis, Rusia, Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman) di Switzerland akhirnya mencapai persetujuan bersejarah selepas ia tertangguh selama hampir 12 tahun.

Menurut laporan Press TV, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mendakwa rangka kerja tersebut kononnya akan mengancam Israel dan beliau turut menggunakan retorik agresif ketika menghubungi Presiden AS, Barack Obama.

Bagaimanapun, Obama menolak kenyataan beliau dan menyifatkan persetujuan tersebut yang dicapai selepas lapan hari berunding adalah satu penyelesaian komprehensif.

Di bawah rangka kerja itu, Teheran dilaporkan bersetuju  menghentikan program nuklear mereka bagi membolehkan sekatan ke atas ekonomi negara terbabit ditarik balik.

Palestin bertegas kepada Israel


Mahmoud Abbas
Mahmoud berucap ketika majlis perasmian sebuah acara di Ramallah, kelmarin.
RAMALLAH - PALESTIN. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, kelmarin mendakwa Israel hanya memindahkan sebahagian daripada hasil cukai kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

"Tel Aviv telah menolak sebahagian hasil cukai tersebut untuk membayar hutang Palestin kepada syarikat utiliti mereka.

"Kami akan memulangkan wang tersebut kerana jumlahnya tidak mencukupi. Israel mempunyai dua pilihan sama ada mengembalikan kesemua wang tersebut atau perkara ini akan dikemukakan kepada timbang tara atau ICC," tegas Mahmoud.

Pada Disember lalu, Tel Aviv bertindak membekukan hasil cukai berjumlah kira-kira AS$130 juta (RM472 juta) selepas Palestin mengumumkan rancangan mereka untuk menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dimuktamadkan pada 1 April lalu.
Bagaimanapun, Israel akhirnya akur dengan gesaan negara antarabangsa supaya menyambung semula pemindahan hasil cukai bernilai AS$400 juta (RM1.4 bilion) pada minggu lalu.

Sementara itu, jurucakap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberitahu jumlah yang ditolak itu kononnya untuk menampung bayaran hutang bekalan kuasa elektrik, air dan bil kesihatan.

"Kami bersetuju untuk memindahkan semula kesemua wang seperti yang dituntut oleh PA," katanya.

Pada Februari lalu, Israel bertindak memotong bekalan kuasa elektrik ke beberapa bandar di Tebing Barat untuk memberi tekanan kepada kerajaan Palestin supaya membayar hutang berjumlah AS$492 juta (RM1.8 bilion) kepada mereka. - Reuters

Israel tahan Ahli Parlimen wanita

Khalida Jarrar
Khalida Jarrar


BAITULMAQDIS 6 April – Seorang Ahli Parlimen wanita Palestin, dikenakan hukuman penjara selama enam bulan oleh Israel, tanpa sebarang dakwaan dan perbicaraan.
Laman web The Electronic Intifada memetik kenyataan pertubuhan hak asasi manusia Addameer sebagai berkata, Khalida Jarrar yang ditahan oleh rejim Zionis pada 2 April lalu di rumahnya di Ramallah telah dijatuhi hukuman ‘perintah tahanan pentadbiran’.
Peguam kumpulan berkenaan Mahmoud Hassan yang melawat Khalida memberitahu, ahli Parlimen itu mengalami masalah kesihatan kronik yang memerlukannya mengambil ubat-ubatan mengikut jadual selain sangat memerlukan ‘penyeliaan perubatan berterusan’.
Khalida akan dihadapkan ke Tribunal Tentera Israel, Rabu ini bagi mengesahkan hukuman penahanan tanpa sebarang dakwaan dan perbicaraan yang dihadapinya.
Beliau merupakan seorang daripada 15 Ahli Parlimen Palestin serta 23 tahanan politik wanita yang kini berada dalam tahanan Israel.
Khalida adalah anggota politik terkenal Palestin dari Parti Popular Barisan Liberalisme dan sering terlibat dalam isu-isu berkaitan banduan dan tahanan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-tahan-ahli-parlimen-wanita-1.78146#sthash.UFJ3Pm76.dpuf