Mahmoud Abbas
Mahmoud berucap ketika majlis perasmian sebuah acara di Ramallah, kelmarin.
RAMALLAH - PALESTIN. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, kelmarin mendakwa Israel hanya memindahkan sebahagian daripada hasil cukai kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

"Tel Aviv telah menolak sebahagian hasil cukai tersebut untuk membayar hutang Palestin kepada syarikat utiliti mereka.

"Kami akan memulangkan wang tersebut kerana jumlahnya tidak mencukupi. Israel mempunyai dua pilihan sama ada mengembalikan kesemua wang tersebut atau perkara ini akan dikemukakan kepada timbang tara atau ICC," tegas Mahmoud.

Pada Disember lalu, Tel Aviv bertindak membekukan hasil cukai berjumlah kira-kira AS$130 juta (RM472 juta) selepas Palestin mengumumkan rancangan mereka untuk menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dimuktamadkan pada 1 April lalu.
Bagaimanapun, Israel akhirnya akur dengan gesaan negara antarabangsa supaya menyambung semula pemindahan hasil cukai bernilai AS$400 juta (RM1.4 bilion) pada minggu lalu.

Sementara itu, jurucakap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberitahu jumlah yang ditolak itu kononnya untuk menampung bayaran hutang bekalan kuasa elektrik, air dan bil kesihatan.

"Kami bersetuju untuk memindahkan semula kesemua wang seperti yang dituntut oleh PA," katanya.

Pada Februari lalu, Israel bertindak memotong bekalan kuasa elektrik ke beberapa bandar di Tebing Barat untuk memberi tekanan kepada kerajaan Palestin supaya membayar hutang berjumlah AS$492 juta (RM1.8 bilion) kepada mereka. - Reuters