Salam Fayyad
Salam Fayyad
RAMALLAH - Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Presiden Mahmud Abbas, semalam.

Jurucakap kerajaan berkata, Fayyad bertemu Abbas selama setengah jam di ibu pejabat presiden di Ramallah, Tebing Barat dan secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatannya.

“Fayyad memutuskan untuk meninggalkan pentadbiran negara itu, walaupun diminta untuk memegang jawatan itu buat sementara waktu,” katanya.

Agensi media Wafa melaporkan, Abbas dan Fayyad bermusuh berikutan kritikan terhadap dasar ekonomi perdana menteri terbabit yang dilaksanakan dalam pergerakan Fatah tetapi Washington mendesak supaya ekonomi berasaskan Amerika Syarikat kekal di situ.

Khabar angin menyatakan Fayyad akan meletak jawatan atau diarah supaya meletak jawatan oleh Abbas bertiup kencang sejak minggu lalu selepas berlaku perselisihan faham sekian lama membabitkan portfolio kewangan.

Kemelut dalaman pentadbiran Palestin bermula apabila Menteri Kewangan, Nabil Qassis mengumumkan pada 2 Mac lalu untuk meletak jawatan.

Menurut laporan AFP, Fayyad bagaimanapun bersetuju dengan tindakan tersebut tetapi Abbas yang berada di luar negara ketika itu menolak permohonan beliau.