Wednesday 24 September 2014

palestin

Abbas janji kemuka jadual baharu rundingan damai di Asia Barat

NEW YORK: Presiden Palestin, Mahmud Abbas berjanji akan mengemukakan jadual baharu bagi rundingan damai dengan Israel apabila beliau berucap di hadapan pemimpin dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini.
"Saya ingin tegaskan kepada Perdana Menteri (Benjamin) Netanyahu, hentikan pendudukan, berdamailah," kata Abbas dalam satu majlis di New York hari ini.
Dalam ucapannya yang menyentuh perasaan kepada pelajar di Dewan Cooper Hall di mana Abraham Lincoln pernah menyuarakan agar dihentikan perhambaan, Abbas berkata:
"Masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat kami, yang hidup dengan ancaman ketakutan pihak yang menceroboh.
"Kami tidak faham bagaimana kerajaan Israel begitu tersasar sehingga tidak memahami bahawa pengeboman Gaza yang mengorbankan ribuan wanita dan kanak-kanak akan hanya mencetuskan lebih banyak kebencian."
Justeru, Abbas berkata, minggu ini beliau akan mencadangkan kepada PBB satu jadual baharu bagi rundingan damai.
Ucapannya disampaikan dalam bahasa Inggeris dan mendapat tepukan hadirin.
Ahli politik veteran Palestin itu akan berucap di Perhimpunan Agung PBB, Jumaat ini.
Pemimpin Palestin menyatakan Abbas akan mencadangkan tempoh masa tiga tahun bagi menamatkan pendudukan Israel dan penubuhan negara Palestin.
Rundingan damai terakhir diketuai diplomat Amerika Syarikat, John Kerry gagal April lalu berikutan kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.
Pegawai Palestin dan Israel sedang berusaha untuk mencapai persetujuan bagi mengekalkan gencatan senjata yang dipersetujui pada penghujung Ogos lalu berikutan keganasan Israel selama 50 hari di Semenanjung Gaza. - AFP

Tentera rejim Israel bunuh dua rakyat Palestin

SELASA, 23 SEPTEMBER 2014 @ 3:04 PM

 
HEBRON: Tentera rejim Israel menembak mati dua rakyat Palestin yang didakwa membunuh tiga remaja Israel di kawasan pendudukan di Tebing Barat Jun lalu, kejadian yang mencetuskan peperangan tujuh minggu di Gaza.

Israel melancarkan gerakan mencari Marwan Kawasme dan Amar Abu Aysha, dalam lingkungan umur 30-an di kawasan Hebron selama beberapa bulan.

Mereka didakwa menembak mati tiga remaja yang sedang mengembara pada waktu malam berhampiran kawasan pendudukan Yahudi pada 12 Jun lalu.

Penduduk Hebron berkata askar Yahudi mengepung sebuah rumah di bandar raya berkenaan sebelum waktu Subuh dan kemudian kedengaran bunyi tembakan.



Tentera Zionis itu berkata pasukan keselamatan mengenal pasti lokasi di mana Kawasme dan Abu Aysha berada dan sedang cuba membuat penahanan apabila berlaku kejadian tembak-menembak.

"Kami melepaskan tembakan, mereka membalas tembakan dan mereka terbunuh dalam kejadian itu," dakwa jurucakap tentera Yahudi itu, Leftenan-Kolonel Peter Lerner.

Gabenor Hebron Kamel Hmeid mengesahkan kematian mereka menerusi radio Palestin.

"Adalah jelas kedua-dua syahid itu, al-Kawasme dan Abu Aysha, dibunuh pagi ini dalam operasi tentera di kawasan Universiti Hebron.

"Kami mengutuk perbuatan jenayah ini sebagai pembunuhan yang disengajakan dan diatur," katanya. - REUTERS

Pemerhati PBB pantau projek Gaza


Masjid al-Faruq di Rafah antara masjid paling teruk dibedil dalam serangan 50 hari oleh rejim Zionis di Gaza.
Masjid al-Faruq di Rafah antara masjid paling teruk dibedil dalam serangan 50 hari oleh rejim Zionis di Gaza.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar ratusan penyelia antarabangsa ke Genting Gaza bagi memantau projek pembinaan semula di wilayah itu.

Pada perjanjian minggu lalu antara wakil Timur Tengah PBB, Robert Serry; Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah dan penyelaras aktiviti Isreal di wilayah Plaestin, Yoav Mordechai dimaklumkan bahawa kira-kira 500 penyelia akan ditugaskan di kawasan berkenaan.

Di bawah pelan itu, mereka ditempatkan di kawasan pembinaan utama, tapak penyimpanan bahan dan lokasi jentolak serta peralatan mekanikal lain, dipetik dari laporan Press TV.

Mahmoud nekad kemuka tuntutan


Sekatan haram Israel memberi impak besar kepada kanak-kanak Palestin.
Sekatan haram Israel memberi impak besar kepada kanak-kanak Palestin.
RAMALLAH - PALESTIN. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas nekad mahu mengemukakan tuntutan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengeluarkan resolusi bagi menamatkan sekatan haram di Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki Israel sejak 1967.

"Jika tuntutan ini ditolak, kami tetap akan meneruskan usaha menghantar permohonan bagi menyertai agensi antarabangsa lain termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)," katanya lagi.

Menurut Mahmoud, jadual baharu rundingan damai Palestin-Israel juga akan dicadangkan ketika Perhimpunan Agung PBB kali ke-69 yang sedang berlangsung sehingga 1 Oktober depan.

Dalam perkembangan lain, menurutu laporan Press TV, PBB memaklumkan kira-kira 500 pemantau antarabangsa bakal dihantar ke Genting Gaza untuk memantau projek pembinaan semula wilayah itu yang musnah teruk akibat serangan rejim Zionis.

Keputusan itu dibuat selepas satu perjanjian dicapai bersama Wakil PBB di Timur Tengah, Robert Serry, Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah dan Penyelaras Aktiviti Israel di wilayah Palestin, Yoav Mordechai, minggu lalu.

'Gulingkan Netanyahu'


24 September 2014


TEL AVIV - Bekas Presiden Israel, Shimon Peres menuntut parti politik utama supaya menggulingkan perdana menteri, Benjamin Netanyahu dan mengadakan pilihan raya baharu.

Menurut Press TV, Akhbar Jerusalem Post melaporkan Peres, 91, turut menggesa Menteri Kewangan, Yair Lapid supaya keluar daripada kerajaan gabungan pimpinan Netanyahu bersama pemimpin parti Hatnua, Tzipi Livni.

"Episod pentadbiran Netanyahu sudah sampai ke penghujung kerana ia tidak melangkaui jangkaan saya dan gagal membawa sebarang perkembangan positif," jelasnya.

Tinjauan dilakukan Channel 10 TV  juga menunjukkan populariti pemimpin Parti Likud itu jatuh kepada 55 peratus berbanding 69 peratus pada awal bulan lalu.

Israel tembak jatuh jet Syria di Bukit Golan


IMEJ menunjukkan sebuah jet pejuang milik tentera Syria terbakar selepas ditembak oleh sistem pertahanan udara tentera Israel di Bukit Golan semalam.- AFP


BAITULMUQADDIS - Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon semalam memberi amaran bahawa tentera negara itu terpaksa bertindak balas terhadap sebarang cubaan untuk mengancam keselamatan negara berkenaan.
Amaran tersebut dikeluarkan selepas tentera Israel menembak jatuh sebuah jet pejuang milik tentera Syria di Bukit Golan yang dikuasai rejim Zionis.
"Pada pagi ini (semalam) sistem pertahanan udara kami menembak jatuh sebuah jet pejuang Syria yang menghampiri wilayah Israel di Bukit Golan, jet itu seperti satu ancaman malah pesawat itu turut melintasi sempadan," katanya dalam satu kenyataan.
Kawasan seluas 1,200 kilometer persegi di Bukit Golan ditawan Israel daripada Syria ketika perang enam hari yang berlaku pada tahun 1967 sebelum mengisytihar kawasan berkenaan sebagai wilayahnya.
"Kami tidak akan membenarkan sesiapa sama ada negara atau organisasi pengganas mengancam keselamatan dan mencabuli kedaulatan kami.
"Kami terpaksa bertindak balas terhadap cubaan tersebut sama ada ia disengajakan atau tidak," tegasnya.
Sementara itu, bekas ketua perisikan tentera udara Israel, Ram Shmueli berkata, kejadian tersebut kemungkinan berpunca daripada kesilapan juruterbang jet pejuang Syria itu.
"Kami percaya misi juruterbang itu adalah menyerang kedudukan pemberontak bukannya tentera Israel tetapi pesawat tersebut telah melintasi sempadan.
"Malangnya kami tidak boleh bertimbang rasa dengan sebarang pencerobohan terhadap ruang udara Israel," katanya.
Menurutnya, kejadian itu adalah kali pertama tentera Israel menembak jatuh sebuah pesawat Syria sejak tahun 1985. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3EDpKcrBM 
Hakcipta terpelihara 

Rundingan gencatan senjata Gaza disambung semula


KAHERAH 24 Sept. - Delegasi rundingan Israel tiba di sini, semalam bagi mengadakan perbincangan secara tidak langsung dengan pasukan Palestin mengenai gencatan senjata jangka panjang Gaza, beberapa jam selepas tentera Israel menembak mati dua suspek yang membunuh tiga remaja Yahudi, Jun lalu.
Perunding kanan pergerakan Hamas, Ezzat al-Rishq berkata, delegasi Palestin telah bergerak ke ibu pejabat perkhidmatan risikan Mesir yang menjadi orang tengah rundingan itu namun berpatah balik selepas mengetahui tentang pembunuhan suspek, Amer Abu Eisha dan Marwan Qawasmeh di Hebron.
"Rundingan itu tertunda selama dua jam," kata Rishq sambil mengutuk tindakan Israel yang disifatkannya sebagai satu 'pembunuhan'. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_12/Rundingan-gencatan-senjata-Gaza-disambung-semula#ixzz3EDkvGlAp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mahmoud Abbas mohon resolusi di UNGA


Sekumpulan kanak-kanak Palestin mengibarkan bendera ketika bermain berhampiran kawasan rumah mereka yang musnah akibat bedilan Israel di Gaza City, kelmarin. - REUTERS
NEW YORK 23 Sept. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas hari ini menyatakan, beliau akan memohon satu resolusi antarabangsa bagi menetapkan tempoh masa untuk menamatkan pendudukan Israel di wilayah Palestin apabila berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada minggu ini.
Jika PBB menolak rayuannya, Abbas berkata, beliau akan memohon menyertai agensi dan institusi antarabangsa termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Penyertaan ke dalam mahkamah itu akan membuka peluang untuk mendakwa Israel dengan jenayah perang membabitkan dua tindakan rejim tersebut di Gaza dan pembinaan penempatan Yahudi yang berterusan di tanah Palestin.
Pemimpin Palestin itu dijangka berucap di UNGA pada Jumaat ini dan bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry hari ini.
Sementara itu, pasukan tentera Israel hari ini menembak mati dua penduduk Palestin yang disyaki membunuh tiga remaja Israel di wilayah yang diduduki rejim Zionis di Tebing Barat pada Jun lalu.
Israel telah memburu dua suspek itu, Marwan Kawasme dan Amar Abu Aysha sejak berbulan-bulan lalu.
Mereka didakwa merupakan individu yang terlibat menangkap dan menembak tiga remaja Israel tersebut berdekatan satu penempatan Yahudi pada 12 Jun lalu.
Penduduk Hebron berkata, pasukan keselamatan mengepung sebuah rumah di bandar itu pada waktu senja sebelum bunyi tembakan kedengaran. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_04/Mahmoud-Abbas-mohon-resolusi-di-UNGA#ixzz3EDkQsJeI
© Utusan Melayu (M) Bhd