Wednesday 24 September 2014

Abbas janji kemuka jadual baharu rundingan damai di Asia Barat

NEW YORK: Presiden Palestin, Mahmud Abbas berjanji akan mengemukakan jadual baharu bagi rundingan damai dengan Israel apabila beliau berucap di hadapan pemimpin dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini.
"Saya ingin tegaskan kepada Perdana Menteri (Benjamin) Netanyahu, hentikan pendudukan, berdamailah," kata Abbas dalam satu majlis di New York hari ini.
Dalam ucapannya yang menyentuh perasaan kepada pelajar di Dewan Cooper Hall di mana Abraham Lincoln pernah menyuarakan agar dihentikan perhambaan, Abbas berkata:
"Masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat kami, yang hidup dengan ancaman ketakutan pihak yang menceroboh.
"Kami tidak faham bagaimana kerajaan Israel begitu tersasar sehingga tidak memahami bahawa pengeboman Gaza yang mengorbankan ribuan wanita dan kanak-kanak akan hanya mencetuskan lebih banyak kebencian."
Justeru, Abbas berkata, minggu ini beliau akan mencadangkan kepada PBB satu jadual baharu bagi rundingan damai.
Ucapannya disampaikan dalam bahasa Inggeris dan mendapat tepukan hadirin.
Ahli politik veteran Palestin itu akan berucap di Perhimpunan Agung PBB, Jumaat ini.
Pemimpin Palestin menyatakan Abbas akan mencadangkan tempoh masa tiga tahun bagi menamatkan pendudukan Israel dan penubuhan negara Palestin.
Rundingan damai terakhir diketuai diplomat Amerika Syarikat, John Kerry gagal April lalu berikutan kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.
Pegawai Palestin dan Israel sedang berusaha untuk mencapai persetujuan bagi mengekalkan gencatan senjata yang dipersetujui pada penghujung Ogos lalu berikutan keganasan Israel selama 50 hari di Semenanjung Gaza. - AFP

No comments:

Post a Comment