Thursday 31 October 2013

Israel bebas 26 tahanan Palestin licinkan rundingan damai


Mahmoud Abbas (dua dari kiri) menyambut sebahagian daripada 26 tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara-penjara Israel di bandar Ramallah, wilayah Tebing Barat, semalam. - REUTERS
BAITULMAQDIS 30 Okt. - Israel, semalam membebaskan 26 tahanan Palestin sebagai sebahagian usaha melicinkan rundingan damai antara kedua-dua pihak.
Pembebasan tahanan tersebut merupakan yang kedua dilakukan selepas empat tahanan dibebaskan, sebelum ini untuk memulakan rundingan damai antara Palestin dan Israel, yang diusahakan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry.
Awal tahun ini, Kerry memujuk Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk mengenepikan isu pembinaan penempatan haram Yahudi dan sebagai tukaran, rejim Zionis Israel itu bersetuju membebaskan tahanan Palestin.
Beribu-ribu penduduk Palestin ditahan di penjara Israel sejak Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis ditawan dalam Perang Enam Hari pada 1967 dan kebanyakan mereka dipenjarakan atas kesalahan melontar batu, membunuh, mengebom, menyerang dan beberapa kesalahan lain.
Namun, proses rundingan damai itu dijangka terjejas ekoran tindakan Israel meluluskan empat lagi projek pembinaan penempatan haram Yahudi di timur wilayah ini, hari ini, beberapa jam selepas 26 tahanan Palestin terbabit dibebaskan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Lital Apter berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanhayu meluluskan projek berkenaan termasuk pembinaan 1,500 unit rumah di Ramat Shlomo, sebuah kawasan yang dituntut Palestin.
Tindakan Israel meluluskan projek berkenaan dijangka membangkitkan kemarahan Palestin, namun tidak pasti sama ada ia akan menjejaskan rundingan damai antara kedua-dua belah pihak.
Palestin sebelum ini enggan meneruskan rundingan damai dengan Israel, selagi rejim Zionis Israel tidak menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131031/lu_04/Israel-bebas-26-tahanan-Palestin-licinkan-rundingan-damai#ixzz2jF1qJhT1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tentera Israel tembak mati seorang rakyat Palestin


BAITUMUKADIS 31 Okt. - Pasukan keselamatan Israel menembak mati seorang rakyat Palestin ketika mereka memasuki sebuah perkampungan di bandar Jenin, Tebing Barat malam tadi, kata pegawai keselamatan dan perubatan Palestin semalam.
Ahmad Tazazaa, 22, dibunuh tentera Israel ketika mereka membuat tangkapan di Kabatya, selatan Jenin.
Pegawai Palestin berkata, tentera Israel memasuki perkampungan pada waktu malam untuk membuat tangkapan tetapi dibalas dengan serangan batu oleh para penduduk.
Mereka kemudian melepaskan tembakan menyebabkan Tazazaa cedera di bahagian dada. Empat penduduk turut ditahan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131031/lu_12/Tentera-Israel-tembak-mati-seorang-rakyat-Palestin#ixzz2jQhiibFP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Israel umum bina rumah haram



BEBERAPA orang bekerja di sebuah lokasi pembinaan kediaman di Ramat Shlomo, timur Baitulmuqaddis semalam.- REUTERS


BAITULMUQADDIS - Pemerintah Israel semalam mengumumkan rancangan untuk membina 1,500 rumah baharu di timur bandar Baitulmuqaddis.
Sebahagian bandar itu turut dituntut oleh pihak Palestin.
Pengumuman itu dibuat sejam selepas regim Zionis membebaskan sekumpulan tahanan Palestin sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk mengadakan rundingan damai.
Pembinaan penempatan tersebut dilihat sebagai satu cubaan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai balasan kerana membebaskan tahanan berkenaan.
Tindakan itu telah mendapat kritikan hebat oleh penduduk Yahudi.
Tahanan-tahanan tersebut dipenjarakan kerana telah melakukan serangan maut ke atas penduduk Israel.
Seorang jurucakap Kementerian Dalam Negari Israel, Lital Apter berkata,sebanyak 1,500 kediaman akan dibina di Ramat Shlomo yang merupakan satu penempatan yang luas di Baitulmuqaddis.
Katanya, Israel turut merancang untuk membangunkan sebuah tapak arkeologi dan pelancongan dekat Bandar Lama di sini.
Israel menawan Baitulmuqaddis termasuk Tebing Barat dan Genting Gaza menerusi Perang Asia Barat pada tahun 1967.
Penduduk Palestin mahu menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara mereka. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2jEyhxruU 
Hakcipta terpelihara