Tuesday 23 June 2015

Mahmoud tolak Hamas


AP - MENTERI Luar Perancis, Laurent Fabius (dua dari kanan) menghadiri mesyuarat bagi membincangkan usaha damai Asia Barat di Kaherah, Mesir pada 20 Jun lalu.


RAMALLAH, Tebing Barat – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kelmarin memaklumkan kepada Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius bahawa pembentukan kerajaan perpaduan baharu memerlukan penglibatan Hamas, kata seorang diplomat Perancis.
Kenyataan itu dibuat sehari sebelum mesyuarat penting jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin diadakan bagi membincangkan pembentukan Kabinet baharu selepas kerajaan sedia ada meletak jawatan pada minggu lalu ekoran perbalahan dengan Hamas yang menguasai Genting Gaza.
“Saya diberitahu bahawa kerajaan perpaduan ini hanya akan disertai oleh calon yang mengiktiraf Israel, mengutuk keganasan dan berpegang kepada prinsip-prinsip Kuartet Asia Barat,” kata Fabius pada satu sidang akhbar di Ramallah selepas perbincangannya dengan Mahmoud.
“Syarat-syarat itu cukup sempurna bagi kami,” tambahnya.
Mesyuarat di Ramallah dan Baitulmuqaddis kelmarin merupakan antara usaha Fabius untuk menghidupkan rundingan damai Palestin-Israel yang tergendala selepas inisiatif damai Amerika Syarikat gagal pada tahun lalu.
Tindakan membubarkan kerajaan itu dibuat pada waktu kritikal ketika sumber Hamas menyatakan, mereka sedang mengadakan perbincangan secara berasingan dengan Israel bagi mengukuhkan gencatan senjata yang menamatkan perang 50 hari di Gaza pada Ogos tahun lalu.
Tidak dapat dipastikan sama ada pembubaran kerajaan pada Rabu lalu itu berkait langsung dengan perbincangan tersebut.
“Jika betul pemahaman saya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membayangkan perbincangan tentang Gaza itu diadakan bagi membaiki situasi kemanusiaan di sana,” katanya. – AF


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0623&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3dpqSVfEi 
Hakcipta terpelihara