Thursday 8 October 2015

Israel terus mengganas


Remaja Palestin membaling batu ke arah anggota keselamatan Israel semasa mengadakan tunjuk perasaan membantah tindakan Israel menceroboh Masjid al-Aqsa di pusat pemeriksaan Hezma di Tebing Barat pada 30 September lalu. - AFP
BAITULMAQDIS 5 Okt. - Seorang remaja Palestin ditembak mati, manakala beratus-ratus lagi penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel dan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat, semalam.
Keganasan terbaharu itu tercetus selepas rejim Zionis menguatkuasakan larangan terhadap penduduk Palestin daripada memasuki kota lama Baitulmaqdis, tindakan yang disifatkan oleh pergerakan Hamas sebagai perkauman dan penindasan.
Menurut portal Al-Jazeera yang memetik kenyataan Persatuan Palang Merah Palestin (PRCS), tentera Israel menggunakan peluru hidup dan peluru getah yang bersalut besi untuk menyuraikan penunjuk perasaan Palestin yang berang terhadap larangan itu.
PRCS berkata, remaja Palestin berusia 18 tahun, Huthaifa Suleiman ditembak mati oleh tentera rejim Zionis di pusat pemeriksaan dekat Tulkarm.
Jelas persatuan itu, hampir 400 penduduk Palestin lagi mengalami kecederaan teruk termasuk 150 orang yang cedera akibat terkena tembakan.
“Seramai 200 orang dirawat akibat menerima kesan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota keselamatan Israel.
“Perintah darurat diisytiharkan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur susulan serangan ganas tentera penjajah (rejim Zionis) dan pendatang haram Yahudi,” tambah kenyataan itu.
Selain itu, PRCS melaporkan, tentera Israel turut menyerang ambulans yang digunakan untuk membawa penduduk Palestin yang cedera dan lima anggota perubatan turut diserang ketika mereka menjalankan tugas.
“Tindakan kejam rejim Zionis itu secara jelas melanggar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) terutamanya melibatkan Perkara Keempat Konvensyen Geneva 1949 yang menyebut tentang perlindungan terhadap orang awam semasa perang,” jelas PRCS.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-terus-mengganas-1.143373#sthash.OrnTRNvk.dpuf

Israel rancang intifada

Sengaja cetus provokasi terhadap penduduk Palestin

Seorang penduduk Palestin ditahan tentera Israel semasa satu pertempuran

Seorang penduduk Palestin ditahan tentera Israel semasa satu pertempuran tercetus di Shuafat, pinggir Baitulmaqdis, kelmarin. REUTERS
CALIFORNIA 6 Okt. - Israel sengaja melancarkan provokasi secara berterusan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dengan harapan dapat mencetuskan intifada atau kebangkitan ketiga, bagi memperluaskan kawasan jajahan rejim Zionis itu.
Berdasarkan satu wawancara antara portal Press TV dan pengasas bersama Pergerakan Kebebasan Palestin, Paul Larudee, beliau mengulas lanjut tentang isu penahanan beramai-ramai penduduk Palestin oleh rejim Israel di Tebing Barat sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Larudee, tindakan penahanan secara besar-besaran itu merupakan satu provokasi bagi menghidupkan peluang Israel melakukan penindasan yang lebih teruk terhadap penduduk Palestin.
Secara jelas katanya, rejim Zionis mahu menghapuskan rakyat Palestin melalui tindakan memusnahkan rumah, memenjarakan lebih ramai penduduk, dan memisahkan ahli keluarga selain mencetuskan keganasan yang lebih besar seperti intifada.
“Malah Israel tidak mempedulikan pihak antarabangsa yang mengutuk tindakan mereka termasuk resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu rejim itu menghormati undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” katanya.
Ketegangan di Tebing Barat semakin memuncak ekoran pertempuran antara penduduk dan pihak keselamatan rejim Zionis susulan pembunuhan dua remaja Palestin dalam tempoh 24 jam dan tindakan kontroversi Israel melarang penduduk Palestin memasuki Kota Lama Baitulmaqdis.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengarahkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk mengekang sebarang kejadian yang lebih buruk di Tebing Barat, sekali gus mengelakkan berlakunya intifada ketiga.
Seorang penasihat kanan Abbas, Nimer Hammad berkata, pucuk kepimpinan PA tidak mahu kebangkitan tersebut tercetus dan tindakan Israel hanya menunjukkan kerajaan Palestin yang mencetuskan keganasan.
Beliau turut menyalahkan Hamas berhubung ketegangan di Tebing Barat walaupun pergerakan Islam itu menguasai wilayah Palestin di Semenanjung Gaza.
Dalam perkembangan terbaharu, Israel memusnahkan dua buah rumah penduduk Palestin dan menyita sebuah lagi rumah kerana mendakwa penghuninya terlibat dalam serangan terhadap penda­tang haram Yahudi pada tahun lalu.
Intifada Pertama
• Tercetus pada Disember 1987 sehingga 1993 bagi menentang penjajahan Israel

Intifada Kedua
• Berlaku pada hujung September 2005 dan berakhir lima tahun kemudian.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-rancang-intifada-1.143735#sthash.il67sJoi.dpuf

Al-Aqsa berjaga-jaga


Israel, Palestin elak peningkatan keganasan di kawasan suci

SEORANG pemuda Palestin membaling batu ke arah pasukan keselamatan Israel dalam pertempuran di pintu masuk di Tebing Barat Baitulaham, kelmarin, selepas acara pengebumian seorang remaja yang ditembak mati polis Zionis. AFP
BAITULMAQDIS 7 Okt. - Israel membatalkan peraturan yang mengehadkan kemasukan penduduk Palestin ke kawasan Masjid al-Aqsa ketika Presiden Pa­lestin, Mahmoud Abbas mengambil tindakan untuk menghalang peningkatan keganasan di kawasan tersebut yang bermula sejak tiga minggu lalu.
Tindakan Israel diambil selepas Mahmoud mengarahkan pasukan keselamatan dan sayap-sayap Palestin untuk menghalang sebarang peningkatan keganasan yang menimbulkan kebimbangan akan mencetuskan intifada atau kebangkitan ketiga.
Jurucakap polis Israel, Luba Samri berkata, penduduk Palestin dibenarkan semula untuk mengerjakan solat di Masjid al-Aqsa bermula hari ini.
Pegawai keselamatan Palestin dan Israel juga bertemu di sebuah lokasi yang tidak didedahkan di Tebing Barat malam tadi bagi mengadakan perbincangan, lapor media Israel.
Rentetan daripada pertemuan tersebut, Mahmoud mengumumkan usaha untuk mengekang peningkatan keganasan di sana.
“Kami tidak mahu sebarang peningkatan keganasan, tetapi kami perlu melindungi diri kami,’’ kata beliau yang dipetik sebagai berkata oleh agensi berita rasmi, Wafa.
Kawasan Masjid al-Aqsa menjadi pusat demonstrasi dan merebak sehingga ke kawasan jajahan rejim Zionis yang menyaksikan penduduk Israel berketurunan Arab memba­ling batu ke arah polis di daerah Jaffa, Tel Aviv.
Palestin bimbang, kerajaan Israel akan menukar peraturan sedia ada di al-Aqsa yang membenarkan Yahudi melawat, tetapi tidak melakukan upacara agama di sana.
Peningkatan keganasan ber­kenaan menimbulkan kebimbangan masyarakat antarabangsa tentang kemungkinan tercetus intifada terbaharu seperti yang berlaku pada awal 2000 dan 1987 hingga 1983. – AFP
Israel umum langkah kontroversi
Israel umum langkah kontroversi

7 OKTOBER 2015
Israel umum langkah kontroversi Pihak berkuasa rejim Zionis meletupkan rumah milik dua penduduk Palestin yang disifatkan sebagai hukuman kolektif.

TEL AVIV - ISRAEL. Kerajaan Israel mengumumkan langkah lebih ketat kononnya sebagai usaha untuk menangani keganasan yang semakin meningkat selepas seorang remaja Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera rejim Zionis berhampiran bandar Baitulaham, kelmarin.

Dalam satu kenyataan sebelum mesyuarat tersebut, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan Israel akan bertindak balas dengan segera terhadap penghasut dan ancaman keganasan.

"Sebanyak empat lagi batalion tentera telah dikerah di Tebing Barat dan ribuan  polis turut ditempatkan di Baitulmaqdis.

"Anggota keselamatan juga akan menyerbu kejiranan Arab dan merobohkan rumah mana-mana individu yang terlibat dalam insiden keganasan," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan juga membenarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pembaling batu dan bom api.

Sementara itu, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri menyatakan langkah seumpama itu tidak akan menghentikan protes penduduk Palestin yang berang dengan pencabulan ke atas Masjid al-Aqsa sejak akhir-akhir ini.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa rejim Zionis dilaporkan meletupkan rumah milik dua penduduk Palestin, Ghassan Abu Jamal dan Mohammed Jaabis yang didakwa menyerang penduduk Israel pada tahun lalu. - al-Arabiya