Seorang penduduk Palestin ditahan tentera Israel semasa satu pertempuran tercetus di Shuafat, pinggir Baitulmaqdis, kelmarin. REUTERS
CALIFORNIA 6 Okt. - Israel sengaja melancarkan provokasi secara berterusan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dengan harapan dapat mencetuskan intifada atau kebangkitan ketiga, bagi memperluaskan kawasan jajahan rejim Zionis itu.
Berdasarkan satu wawancara antara portal Press TV dan pengasas bersama Pergerakan Kebebasan Palestin, Paul Larudee, beliau mengulas lanjut tentang isu penahanan beramai-ramai penduduk Palestin oleh rejim Israel di Tebing Barat sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Larudee, tindakan penahanan secara besar-besaran itu merupakan satu provokasi bagi menghidupkan peluang Israel melakukan penindasan yang lebih teruk terhadap penduduk Palestin.
Secara jelas katanya, rejim Zionis mahu menghapuskan rakyat Palestin melalui tindakan memusnahkan rumah, memenjarakan lebih ramai penduduk, dan memisahkan ahli keluarga selain mencetuskan keganasan yang lebih besar seperti intifada.
“Malah Israel tidak mempedulikan pihak antarabangsa yang mengutuk tindakan mereka termasuk resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu rejim itu menghormati undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” katanya.
Ketegangan di Tebing Barat semakin memuncak ekoran pertempuran antara penduduk dan pihak keselamatan rejim Zionis susulan pembunuhan dua remaja Palestin dalam tempoh 24 jam dan tindakan kontroversi Israel melarang penduduk Palestin memasuki Kota Lama Baitulmaqdis.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengarahkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk mengekang sebarang kejadian yang lebih buruk di Tebing Barat, sekali gus mengelakkan berlakunya intifada ketiga.
Seorang penasihat kanan Abbas, Nimer Hammad berkata, pucuk kepimpinan PA tidak mahu kebangkitan tersebut tercetus dan tindakan Israel hanya menunjukkan kerajaan Palestin yang mencetuskan keganasan.
Beliau turut menyalahkan Hamas berhubung ketegangan di Tebing Barat walaupun pergerakan Islam itu menguasai wilayah Palestin di Semenanjung Gaza.
Dalam perkembangan terbaharu, Israel memusnahkan dua buah rumah penduduk Palestin dan menyita sebuah lagi rumah kerana mendakwa penghuninya terlibat dalam serangan terhadap pendatang haram Yahudi pada tahun lalu.
Intifada Pertama
• Tercetus pada Disember 1987 sehingga 1993 bagi menentang penjajahan Israel
Intifada Kedua
• Berlaku pada hujung September 2005 dan berakhir lima tahun kemudian.
No comments:
Post a Comment