Dalam laporan yang memeriksa 70 serbuan ke atas bangunan perumahan di wilayah Palestin itu, kumpulan hak asasi B’Taselem berkata, pegawai Israel bertanggungjawab ke atas kematian penduduk awam Pa­lestin dalam konflik selama 50 hari yang menyaksikan hampir 2,200 penduduk Palestin terbunuh.
“Serangan-serangan tentera Israel ke atas bangunan kediaman dan memusnahkan bangunan-bangunan kediaman tersebut ketika penghuninya masih berada di dalamnya.
“Aspek pertempuran ini sa­ngat mengejutkan dan ia adalah hasil polisi kerajaan dan peme­rintah kanan tentera,’’ kata laporan setebal 49 muka surat itu.
Dalam kes yang disiasat B’Tselem, 608 orang terbunuh dengan 70 peratus daripada mangsa yang terkorban berumur di bawah 18 tahun atau berusia lebih 60 tahun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan konflik di Gaza itu menyaksikan 70 peratus daripada mereka yang terbunuh adalah orang awam.
B’Tselem berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung la­poran berkenaan.
Kumpulan hak asasi itu juga mempersoalkan dakwaan Israel bahawa rejim Zionis itu menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa sepanjang konflik itu berlaku.
“Anda tidak boleh menyatakan tentera tidak tahu atau tidak boleh tahu bagaimana banyak orang awam terbunuh dalam serangan berkenaan.
“Anda (mungkin) tidak tahu pada hari pertama atau pada hari kedua, namun pada hari ke-10 atau ke-20, apabila anda melihat banyak orang awam terbunuh, serangan ini tidak sepatutnya diteruskan,’’ kata ketua penyelidik B’Tselem, Yael Stein. - AFP