> Rangkaian pasar raya Tesco umum nama 43 gedung yang mungkin ditutup
> Tujuh daripadanya adalah gedung besar
> Ketua eksekutif Dave Lewis kata ia adalah keputusan yang sangat berat
> Penutupan ini adalah sebahagian daripada rancangan pemulihan Tesco
> Tesco alami penurunan keuntungan yang amat besar untuk kewangan yang berakhir 2014
> Hanya empat tahun sebelum itu Tesco mencatatkan keuntungan pra-cukai sebanyak £3.4 bilion
LONDON: Lebih 2,000 kakitangan pasar raya terbesar United Kingdom (UK), Tesco telah diberi notis awal yang pekerjaan mereka kini berada di dalam risiko selepas mengumumkan keputusan untuk menutup 43 rangkaian gedung termasuk tujuh gedung besar di seluruh negara itu.
Tujuh gedung besar dan lain-lain gedung yang tersenarai itu adalah di antara yang mengalami penguncupan untung sepanjang tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesco UK, Dave Lewis, ketika mengumumkan demikian menegaskan ia adalah keputusan yang sangat sukar dan berat untuk dibuat.
Katanya, keputusan untuk menutup 43 buah rangkaian gedung Tesco itu akan menyaksikan sekurang-kurangnya 2,000 kakitangan hilang pekerjaan.
Dengan keputusan terbaru ini juga, Tesco UK turut mengumumkan yang mereka telah menangguh atau membatalkan buat sementara waktu rancangan untuk membuka 50 lagi outlet di seluruh negara.
Akhbar The Daily Mail melaporkan yang keputusan untuk menutup beberapa gedung Tesco di UK adalah kerana ketidakupayaan mereka untuk bersaing dengan pasar raya bajet yang lain seperti Aldi dan Lidl.
Lewis, yang baru mengambil alih teraju Tesco tahun lalu melihat penutupan gedung-gedung yang tidak membuat keuntungan adalah jalan pintas terbaik untuk menghentikan kerugian yang semakin membebankan.
Penutupan secara besar-besaran gedung-gedung Tesco ini sekaligus akan memadamkan legasi yang ditinggalkan oleh bekas peneraju Tesco iaitu Sir Terry Leahy, yang bertanggungjawab membina syarikat ini menjadi gergasi pasar raya terbesar UK.
Kata Lewis; "Keputusan untuk menutup cawangan-cawangan yang tidak menguntungkan ini adalah merupakan satu keputusan yang sangat berat dan sukar untuk dibuat kerana ia akan menjejaskan begitu ramai staf serta kakitangan, para pelanggan setia kami dan juga komuniti sekitar yang selama ini bergantung harap kepada Tesco untuk menyediakan keperluan harian mereka. Tapi ini sudah tidak boleh dielak lagi."
Tesco, seboleh-bolehnya, kata Lewis akan berusaha untuk menawarkan alternatif lain kepada kakitangan yang terjejas dengan penutupan ini.
Proses penutupan ini akan bermula dari 15 Mac sehingga April.
Saham Tesco jatuh menjunam lebih daripada 40 peratus sepanjang tahun lalu sebahagian besarnya disumbangkan oleh skandal perakaunannya yang berjumlah £263 juta.
Ia menyaksikan Tesco tersilap membuat kiraan untung ruginya kepada bursa sekaligus menguncupkan keuntungan bersihnya sebanyak £250 juta.
Tesco juga membuat keputusan untuk menangguhkan pembukaan gedung baru yang bernilai £22 juta di Chatteris, Cambridgeshire yang sepatutnya telah beroperasi dua bulan lalu dan menawarkan pekerjaan baru kepada sekurang-kurangnya 250 orang pekerja.
No comments:
Post a Comment