Portal Haaretz yang memetik kenyataan pegawai Israel yang tidak dinamakan berkata, langkah itu membabitkan dana sebanyak AS$127 juta (RM446.6 juta) daripada cukai nilai tambah dan duti kastam barang-barangan bagi wilayah Palestin yang melalui Israel.
“Dana bagi bulan Disember sepatutnya diserahkan pada Jumaat lalu, namun hanya separuh daripada dana itu dipindahkan sebagai reaksi kepada langkah Palestin tersebut,’’ kata sumber itu.
Palestin menyerahkan dokumen untuk menyertai Statut Rom ICC dan pelbagai lagi perjanjian antarabangsa di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) kelmarin, dengan menyifatkan mereka akan mendapat ‘keadilan bagi kesemua mangsa yang dibunuh oleh Israel’.
Ketua perunding bagi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat memberitahu portal Al Jazeera bahawa tindak balas Israel itu menunjukkan Israel takut dengan tindakan Palestin untuk menyertai ICC.
“Israel mengutip cukai untuk kami. Oleh itu apabila mereka menahan dana itu, ini bermakna, penduduk tidak akan dapat membayar kos persekolahan, hospital, bantuan perubatan serta membeli susu, dan roti.
“Israel sedang cuba melemaskan keseluruhan bangsa Palestin,’’ kata Saeb.
Israel pernah melewatkan pembayaran kepada Palestin sebagai reaksi tidak senang rejim itu sebelum ini termasuk pada 2012 selepas Palestin memenangi undi PBB pada 29 November yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bukan anggota badan dunia itu.