Tuesday 10 May 2016

Video dedah kekejaman rejim Zionis


Imej yang diperoleh daripada rakaman video menunjukkan mangsa sedang terbaring ketika dia ditembak.
TEL AVIV - Rakaman video terbaharu berjaya mendedahkan pembohongan seorang tentera Israel yang mendakwa dia menembak mati penduduk Palestin yang cedera kononnya kerana mangsa memberi ancaman kepada rakan pasukannya.
Sebelum ini, Sarjan Elor Azaria menyatakan lelaki cedera dikenali sebagai Abed al-fattah al Sharif itu cuba untuk mencapai pisau selain memakai jaket mencurigakan.
Bagaimanapun, stesen TV tempatan, Channel 2, kelmarin memaparkan rakaman ketika mangsa yang sedang terbaring dan tidak bersenjata ditembak mati tanpa perikemanusiaan.
Azaria dilihat melepaskan tembakan pada kepala mangsa selepas dia didakwa menyerang seorang tentera rejim Zionis di bandar Hebron, Tebing Barat pada Mac lalu.  
Susulan kejadian itu, anggota tentera terbabit telah ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh serta melanggar etika tugas di Mahkamah Tentera Jaffa pada 18 April lalu.
Kejadian pembunuhan kejam itu turut dikecam masyarakat antarabangsa, Palestin dan Wakil Khas PBB ke Timur Tengah, Nickolay Mladenov serta beberapa kumpulan hak asasi yang menyifatkan ia sebagai 'pelaksanaan hukuman di luar undang-undang'. - Press TV

Palestin sertai Interpol akhir 2016


Palestin sedang membuat persiapan daripada segi perundangan dan

Palestin sedang membuat persiapan daripada segi perundangan dan teknikal untuk menyertai Interpol pada akhir tahun ini. AGENSI
BRUSSELS 9 Mei - Palestin sedang membuat persiapan untuk memohon menjadi anggota pertubuhan polis antarabangsa (Interpol) pada penghujung tahun ini.
Portal berita Belgium, Bruxelles2.eu yang mempunyai hubungan rapat dengan institusi Kesatuan Eropah melaporkan, pihak berkuasa Palestin sedang membuat persiapan daripada segi perundangan dan teknikal untuk menyertai Interpol.
Menurut laporan itu, usaha pihak berkuasa Palestin akan dibantu seorang anggota polis Belgium, Joeri Van Nuffel yang juga bekas ketua keselamatan di lapangan terbang Zavantem, Brussels.
Van Nuffel menyertai Interpol pada 2012, dan sejak itu menyertai Pejabat Penyelerasan EU bagi Sokongan Polis Palestin (EUPOL COPPS), di mana beliau mengetuai usaha melatih pasukan polis Palestin di Ramallah.
Beliau berkata, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan Palestin dilengkapi dengan sistem yang boleh meya­kinkan negara anggota Interpol.
“Ini termasuk mewujudkan rangka kerja perundangan bagi memastikan pertukaran maklumat dilakukan dengan selamat selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Tiga suku daripada kerjasama antarabangsa adalah dalam pertukaran maklumat yang merupakan perkara paling penting,” jelas Van Nuffel.
Pihak berkuasa Palestin memohon untuk menyertai pertubuhan memerangi jenayah itu pada Ogos 2015 bagi membolehkan mereka memohon kuasa ekstradisi untuk menahan rakyat mereka di luar negara atas kesalahan jenayah seperti rasuah yang dilakukan di wilayah Palestin, lapor agensi berita Palestin, WAFA.
Negara Palestin diiktiraf oleh 137 buah negara yang menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Palestin merupakan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sejak 1969; negara anggota Liga Arab sejak 1976 dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2011.
Pada 2012, Palestin diiktiraf sebagai negara pemerhati bukan anggota di PBB.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/palestin-sertai-interpol-akhir-2016-1.321579#sthash.WW3i1oMf.dpuf