Portal berita Belgium, Bruxelles2.eu yang mempunyai hubungan rapat dengan institusi Kesatuan Eropah melaporkan, pihak berkuasa Palestin sedang membuat persiapan daripada segi perundangan dan teknikal untuk menyertai Interpol.
Menurut laporan itu, usaha pihak berkuasa Palestin akan dibantu seorang anggota polis Belgium, Joeri Van Nuffel yang juga bekas ketua keselamatan di lapangan terbang Zavantem, Brussels.
Van Nuffel menyertai Interpol pada 2012, dan sejak itu menyertai Pejabat Penyelerasan EU bagi Sokongan Polis Palestin (EUPOL COPPS), di mana beliau mengetuai usaha melatih pasukan polis Palestin di Ramallah.
Beliau berkata, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan Palestin dilengkapi dengan sistem yang boleh meya­kinkan negara anggota Interpol.
“Ini termasuk mewujudkan rangka kerja perundangan bagi memastikan pertukaran maklumat dilakukan dengan selamat selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Tiga suku daripada kerjasama antarabangsa adalah dalam pertukaran maklumat yang merupakan perkara paling penting,” jelas Van Nuffel.
Pihak berkuasa Palestin memohon untuk menyertai pertubuhan memerangi jenayah itu pada Ogos 2015 bagi membolehkan mereka memohon kuasa ekstradisi untuk menahan rakyat mereka di luar negara atas kesalahan jenayah seperti rasuah yang dilakukan di wilayah Palestin, lapor agensi berita Palestin, WAFA.
Negara Palestin diiktiraf oleh 137 buah negara yang menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Palestin merupakan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sejak 1969; negara anggota Liga Arab sejak 1976 dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2011.
Pada 2012, Palestin diiktiraf sebagai negara pemerhati bukan anggota di PBB.