Friday 12 September 2014

Hamas sedia perang lagi


Kumpulan Hamas bersedia untuk berperang dengan Israel sekali lagi jika rejim Yahudi itu enggan mematuhi perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui bulan lalu.
“Kami bersedia untuk berperang selama mungkin yang akan menyebabkan Israel menanggung kerugian besar,” kata anggota Parlimen Hamas, Ismail Al-Ashqar, semalam.
Ismail berkata demikian sebagai mengulas tindakan rejim berkenaan menangkap empat nelayan Palestin ketika mereka menangkap ikan.
Tentera Israel sebelum itu turut melepaskan tembakan ke arah nelayan dari Gaza itu.

 Gencatan senjata pada 26 Ogos lalu menetapkan Israel bersetuju terhadap beberapa pekara, termasuk meluaskan zon penangkapan ikan untuk membolehkan nelayan Palestin belayar sejauh 10 kilometer dari pantai Gaza.
Selain itu, Israel juga bersetuju meluaskan lagi jarak itu secara berperingkat-peringkat dan menghapuskan kepungan ke atas Semenanjung Gaza yang dikuatkuasakan sejak tujuh tahun lalu.
Sementara itu, di Tel Aviv, Timbalan Menteri Luar Israel sekali lagi menolak tuntutan Hamas untuk membina pelabuhan dan lapangan terbang dan berkata apa juga bahan binaan yang memasuki Semanjung berkenaan akan menjalani pemeriksaan ketat.
Dia juga tidak menolak kemungkinan Hamas menyambung perjuangan jika kumpulan pejuang Palestin berkenaan merasakan rundingan damai di Kaherah tidak memihak kepada mereka.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Israel mungkin laku jenayah perang


BAITULMAQDIS 11 Sept - Israel kemungkinan terlibat melakukan jenayah perang di Gaza, kata Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) hari ini, sehari selepas tentera rejim Zionis itu mengumumkan lima siasatan jenayah membabitkan beberapa insiden yang melibatkan pasukan tenteranya.
Serangan Israel ke atas Gaza selama 50 hari yang berakhir pada 26 Ogos lalu itu mengorbankan lebih 2,100 warga Palestin yang kebanyakannya orang awam, dan 73 orang warga Israel termasuk 67 askar rejim Zionis itu.
Badan pemerhati hak asasi manusia yang berpangkalan di New York itu dalam satu kenyataan berkata, dalam tiga kes yang disiasat mendapati Israel ‘menjadi punca kematian ramai orang awam kerana mencabul undang-undang perang’.
Insiden itu termasuk pengeboman berasingan ke atas dua buah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di utara Gaza pada 24 dan 30 Julai lalu, serta serangan sebuah peluru berpandu ke atas sebuah lagi sekolah PBB di selatan bandar Rafah pada 3 Ogos lalu.
HRW berkata, dalam serangan itu seramai 45 orang termasuk 17 kanak-kanak terkroban.
"Dua daripada tiga serangan itu yang disiasat HRW .... dilihat tidak menjadikan ketenteraan sebagai sasaran atau dilakukan secara sengaja menyalahi undang-undang.
"Serangan ketiga di Rafah adalah menyalahi undang-undang dilakukan dengan sengaja. Serangan yang menyalahi undang dan dilakukan dengan sengaja, kalau bukanpun secara melulu," katanya.
"Serangan yang menyalahi undang-undang dan dilakukan secara sengaja... iaitu dilakukan secara tersusun atau melalu adalah melakukan jenayah perang," katanya.
Seorang pegawai tertinggi undang-undang tentera semalam berkata, tentera telah melancarkan penyiasatan jenayah ke atas lima insiden itu, termasuk kejadian pada 24 Julai di mana serangan Israel ke atas sebuah sekolah PBB di Beit Habum di utara Gaza yang mengorbankan 15 orang.
Tentera turut menyiasat berpuluh-puluh kes lain yang berpotensi dikaitkan dengan jenayah perang, tetapi setakat ini tidak menyebut langsung insiden pada 30 Julai dan 3 Ogos lalu.
Pegawai itu berkata, tentera telah pun menolak tujuh insiden yang rujuk kepadanya untuk disiasat, termasuk kematian lapan sekeluarga dalam serangan udara Israel ke atas kediaman mereka dan pembunuhan seorang lelaki yang menurut laporan adalah seorang pekreja media.
PBB dan kumpulan hak asasi antarabangsa mengutuk Israel atas beberapa serangan dan Washington turut mengecam serangan membabitkan sekolah PBB pada 24 Julai itu, namun PBB mengelak daripada menyalahkan Israel sepenuhnya.
Sementara itu, Palestin telah mengancam untuk mendakwa Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas kesalahan jenayah perang, dan Hamas telah menandatangani satu cadangan untuk rakyat Palestin bersatu di bawah satu badan bagi menyiasat Israel. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140912/lu_03/Israel-mungkin-laku-jenayah-perang#ixzz3D3CGHMOF
© Utusan Melayu (M) Bhd