Palestin henti kerjasama keselamatan
Beberapa penduduk Palestin mengadakan demonstrasi menentang penaklukan Israel di Tebing Barat. - Foto AFP
RAMALLAH - PALESTIN. Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) telah memutuskan untuk menamatkan semua kerjasama keselamatan dengan Israel.

Menurut sebuah laporan disiarkan pada Khamis, keputusan itu dibuat Majlis Pusat Palestin (PCC) diketuai Presiden Mahmoud Abas pada satu mesyuarat selama dua hari di Ramallah.

Menurut Press TV, PCC berkata, keputusan itu terpaksa diambil kerana Israel telah melanggar perjanjian dua hala selain menyekat dan enggan menyerahkan hasil kutipan cukai kepada Palestin.

"Sebarang bentuk koordinasi keselamatan dengan pihak berkuasa Israel akan dihentikan. Oleh itu, kami tidak lagi mematuhi perjanjian yang telah ditandatangani antara kedua-dua pihak," menurut kenyataan dikeluarkan PCC.

Kenyataan itu turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya menentukan tarikh akhir bagi menamatkan penaklukan Israel agar Palestin boleh menjadi sebuah negara bebas dan berdaulat, selain menyelesaikan isu pelarian mengikut resolusi 194.

"Konsep negara Yahudi dan cadangan sebuah negara Palestin dengan sempadan sementara juga ditolak. Kami juga menolak kehadiran tentera Israel dan peneroka haram Yahudi di atas bumi Palestin," tambah PCC.