Tuesday, 11 February 2014

Samseng pelampau Yahudi serang harta penduduk Arab


Baitulmaqdis: Polis Israel semalam mengesahkan sekumpulan samseng pelampau Yahudi melakukan vandalisme dengan memotong tayar kereta dan menyembur cat pada dinding dengan grafiti anti-Arab di bandar raya ini.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata berkata, perbuatan itu menyebabkan 19 kereta milik penduduk Arab rosak di Silwan.


Menurutnya, pasukan polis sedang melancarkan siasatan dalam usaha menjejaki mereka yang bertanggungjawab.

Pelampau Yahudi melakukan kerap melakukan vandalisme sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai tindak balas ke atas serangan pejuang Palestin dan tanda protes terhadap dasar baru rejim Israel yang dilihat lebih pro-Palestin. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/11

Hamas, Fatah runding semula


11 Februari 2014
Hamas, Fatah runding semula
Ismail (kanan) turut menyertai delegasi Fatah ketika rundingan semula.



GENTING GAZA - PALESTIN. Dua kumpulan gerakan utama Palestin, Hamas dan Fatah, kelmarin mengadakan semula rundingan damai untuk mencapai kesepakatan bagi menamatkan konflik tujuh tahun di wilayah terbabit.

Delegasi Fatah, Nabil Shaath memaklumkan, kedua-dua gerakan tersebut bersetuju membentuk kerajaan perpaduan dan mengadakan pilihan raya adil sebagai memenuhi tuntutan penduduk Palestin.

"Saya menggesa penduduk Palestin supaya bersatu bagi membuka jalan untuk merealisasikan impian mereka selama ini," katanya kepada Press TV.

Sebelum ini, Hamas dan Fatah telah mencapai kesepakatan dalam dua perjanjian damai pada 2011 dan 2012, namun ia tidak dapat dilaksanakan atas faktor keselamatan dan masalah penyusunan semula anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).  

Sementara itu, Perdana Menteri Ismail Haniyeh turut mengkritik cadangan terbaharu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry yang kononnya bertujuan untuk menjayakan rundingan damai antara Palestin dan Israel.

"Ia sememangnya tidak membawa kepada kestabilan serantau kerana pelan tersebut tidak mengiktiraf hak penduduk Palestin," tegasnya.