Saturday 17 May 2014

Petaka 66 tahun


Dalam kalangan aktivis Palestin di seluruh dunia, tarikh 15 Mei setiap tahun mengingatkan mereka kepada penghapusan etnik bersistematik dijalankan rejim Zionis sebelum dan pada 1948.

Selepas 66 tahun, Hari Malapetaka (Yawm an-Nakbah) itu terus dikenang - sama ada di Palestin sendiri, atau di serata tempat di dunia - dan keadilan untuk rakyat yang diusir masih belum diperoleh.



Bagi penduduk Palestin sendiri, 15 Mei setiap tahun adalah hari mengenang masa silam dan mengharap masa depan.

Keadaan semasa membuktikan peristiwa Nakbah itu masih berterusan sehingga ke hari ini - dengan penduduk Yahudi terus mengusir warga Palestin dari tanah air sendiri.


Projek petempatan di Baitulmaqdis dan Tebing Barat adalah manifestasi jelas gerakan terancang Tel Aviv mahu membanjirkan tanah Palestin dengan penduduk Yahudi.


Undang-undang kuku besi - dan tembok besi - pula memisahkan keluarga dan saudara-mara di wilayah itu.

Dasar perumahan yang ditetapkan pula sengaja direka untuk menghalang pertumbuhan komuniti Palestin.

Apa yang berlaku ke atas penduduk Palestin dari 1946 hingga 1949 memang tidak dapat diubah.

Program pengusiran terancang militia Israel bermatlamatkan untuk membentuk wilayah Yahudi di atas tanah Palestin secara paksa.

Gerakan fanatik Zionisme dikatakan bermula di Eropah pada akhir 1980-an bertujuan untuk membentuk negara Israel dan Palestin kemudian dipilih untuk merealisasikan impian itu.

Ketika ia bermula, populasi Palestin dianggarkan 96 peratus adalah penduduk bukan Yahudi.

Melalui pelbagai strategi selama beberapa dekad, pemimpin Zionis perlahan-lahan menjayakan perancangan mereka untuk bertapak di situ.

Strategi mereka ialah: * Menggalakkan perpindahan Yahudi ke Palestin Sebahagian daripada kempen itu dijalankan dengan berselindung di sebalik slogan “tanah tanpa penghuni untuk rakyat tanpa tanah.” Hakikatnya, tanah yang dirampas itu sudah berpenghuni.

* Meyakinkan ‘kuasa besar’ menyokong proses migrasi Sesetengah pihak mendakwa, Zionis berpakat dengan British dan AS untuk membantu gerakan berkenaan.

Mereka turut cuba mendapatkan bantuan kerajaan Uthmaniyah, tetapi ditolak.

Pelobi Zionis berjanji untuk memenangkan ahli politik AS yang membantu mereka melaksanakan projek berkenaan.

* Membeli tanah (kadang-kadang melalui penipuan) Selepas mana-mana tanah ditukar milik, orang Yahudi enggan membenarkan ia didiami atau dikerjakan oleh mana-mana individu bukan Yahudi.

* Keganasan Biasanya langkah ini diambil selepas tawaran berbentuk kebendaan gagal atau lambat membuahkan hasil.

Pada 1930-an, pemilikan tanah dalam kalangan penduduk Yahudi meningkat daripada hanya kira-kira 1 peratus menjadi 6 peratus.

Turut meningkat ialah kekerapan keganasan dengan kemunculan beberapa kumpulan samseng Zionis.

Sesetengah daripada mereka kemudian muncul sebagai pemimpin Israel beberapa tahun kemudian.

Antara tempoh 1947 hingga 1949, sekurang-kurangnya 750,000 warga Palestin - termasuk wanita dan kanak-kanak - diusir dari rumah sendiri melalui paksaan.

Kejadian itu dikenali sebagai Yawm an-Nakbah.

Tentera Zionis juga didapati melakukan 33 pembunuhan beramai-ramai dan memusnahkan 531 bandar Palestin.

Penulis, Author Norman Finkelstein melaporkan, seorang bekas pegawai kanan tentera Israel mengakui dalam hampir setiap petempatan yang ditawan, jenayah perang - seperti pembunuhan dan rogol - dilakukan.

Sejarawan Israel, Uri Milstein, malah menyatakan dengan lebih terbuka: “Setiap kali pertempuran berlaku, ia akan berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai penduduk Arab.” Bekas pegawai Palang Merah Sweden - yang pernah menyelamatkan ribuan Yahudi ketika Perang Dunia Kedua - Folke Bernadotte berkata, larangan terhadap penduduk Palestin kembali ke tanah sendiri bercanggah dengan prinsip keadilan.

Ternyata nasib Bernadotte tidak lebih baik daripada Palestin.

Dia akhirnya dibunuh ejen risikan Israel diketuai Yitzhak Shamir yang kemudian menjadi Perdana Menteri Israel ketujuh (Oktober 1986 hingga Julai 1992).

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Tentera rejim Zionis tembak mati dua pemuda Palestin



SEKUMPULAN penduduk mengusung jenazah dua pemuda Palestin yang mati ditembak tentera Israel untuk dikebumikan di Ramallah semalam.


RAMALLAH - Tentera Israel menembak mati dua pemuda Palestin dalam satu tunjuk perasaan di Tebing Barat kelmarin yang diadakan sempena ulang tahun ke-66 penubuhan negara Israel.
Sumber keselamatan dan perubatan memberitahu bahawa, dua pemuda tersebut, Musaab Nuwarah, 20, dan Mohammed Udeh, 17, mati selepas ditembak di dada oleh askar Israel.
Dua pemuda itu menyertai berpuluh-puluh penunjuk perasaan berhampiran penjara Ofer bagi mendesak pembebasan beribu-ribu penduduk Palestin yang ditahan pihak berkuasa Israel.
Tunjuk perasaan tersebut juga diadakan sempena 'Hari Nakba' atau Hari Bencana kerana tertubuhnya negara Israel pada 14 Mei 1948.
Ini kerana penubuhan negara Yahudi telah menyebabkan 750,000 penduduk Palestin terpaksa melarikan diri atau diusir dari tanah air mereka selepas tercetusnya perang Arab-Israel pada tahun 1948.
Tentera Israel dalam satu kenyataan mengesahkan pertempuran dengan seramai 150 penunjuk perasaan dan askarnya menggunakan peluru getah untuk menyuraikan tunjuk perasaan.
Kejadian itu menyebabkan jumlah penduduk Palestin yang mati dibunuh tentera Yahudi di Tebing Barat pada tahun ini sahaja meningkat kepada 11 orang.
Beberapa tunjuk perasaan turut diadakan di Nablus di Hebron dan di barat Baitulmuqaddis yang menyebabkan berpuluh-puluh penduduk Palestin ditahan pihak berkuasa Israel. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz31v3xHMlf 
Hakcipta terpelihara