RAMALLAH - Tentera Israel menembak mati dua pemuda Palestin dalam satu tunjuk perasaan di Tebing Barat kelmarin yang diadakan sempena ulang tahun ke-66 penubuhan negara Israel.
Sumber keselamatan dan perubatan memberitahu bahawa, dua pemuda tersebut, Musaab Nuwarah, 20, dan Mohammed Udeh, 17, mati selepas ditembak di dada oleh askar Israel.
Dua pemuda itu menyertai berpuluh-puluh penunjuk perasaan berhampiran penjara Ofer bagi mendesak pembebasan beribu-ribu penduduk Palestin yang ditahan pihak berkuasa Israel.
Tunjuk perasaan tersebut juga diadakan sempena 'Hari Nakba' atau Hari Bencana kerana tertubuhnya negara Israel pada 14 Mei 1948.
Ini kerana penubuhan negara Yahudi telah menyebabkan 750,000 penduduk Palestin terpaksa melarikan diri atau diusir dari tanah air mereka selepas tercetusnya perang Arab-Israel pada tahun 1948.
Tentera Israel dalam satu kenyataan mengesahkan pertempuran dengan seramai 150 penunjuk perasaan dan askarnya menggunakan peluru getah untuk menyuraikan tunjuk perasaan.
Kejadian itu menyebabkan jumlah penduduk Palestin yang mati dibunuh tentera Yahudi di Tebing Barat pada tahun ini sahaja meningkat kepada 11 orang.
Beberapa tunjuk perasaan turut diadakan di Nablus di Hebron dan di barat Baitulmuqaddis yang menyebabkan berpuluh-puluh penduduk Palestin ditahan pihak berkuasa Israel. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz31v3xHMlf
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment