"SAYA masih ingat bunyi bom meletup," kata Farah Baker perlahan. Jika nama ini seperti pernah didengar, mungkin kerana gadis berusia 17 tahun dari Semenanjung Gaza ini dikenali kira-kira setahun lalu kerana mendedahkan kekejaman Israel ke bumi kelahirannya itu.

Mengguna nama 'Guess What', Farah bercerita kepada dunia tentang kematian dan kemusnahan yang disaksikannya dalam140 patah perkataan di Twitter.

Statusnya menjadi viral. "Saya terkejut dengan respons positif yang luar biasa terhadap 'tweet' saya. Pengikut saya bertambah dari hanya 800 kepada 200,000 dalam sekelip mata.

"Saya dapati mereka mula mengikuti saya kerana mereka juga mahu tahu kebenaran. Saya tidak fokus pada politik. Saya cuma cerita tentang kehidupan saya ketika perang," katanya seperti yang dipetik dalam laporan AlJazeera.

Bercerita lagi, Farah berkata setiap hari penduduk menjadi sasaran dan merasakan kematian mendekati mereka setiap minit.

"Saya masih ingat...letupan dan bunyi siren ambulans. Saya ingat semuanya. "Kami diserang...Saya mahu dunia tahu apa yang berlaku di Gaza," katanya.

Farah percaya media Barat menyebelahi Israel dan menutup ketidakadilan yang berlaku ketika perang yang mengakibatkan lebih darpada 2,200 rakyat Palestin terbunuh dan lebih daripada setengah juta rakyat hilang tempat tinggal.

Oleh itu, Farah memanfaatkan akaun Twitter dan generator elektrik keluarganya.

Ketika peperangan berlaku, Farah sering mengemaskini status di Twitternya dengan kekerapan bunyi bom yang didengarinya dan memuatnaik video kawasan-kawasan yang telah diserang bom.

Antara statusnya yang dimuatnaik adalah, "Ini kawasan saya, saya tak boleh berhenti menangis. Saya mungkin mati malam ini."

Malah Farah mendakwa statusnya itu telah menarik perhatian Israel apabila dia telah diugut di Twitter banyak kali.

"Kami akan cari kamu dan bom kamu. Kamu mesti hentikan apa yang kamu lakukan," antara ugutan diterima Farah.

Namun Farah menegaskan ugutan itu tidak sedikit pun melemahkannya mahupun keluarganya.

Bapanya seorang pakar bedah dan ibunya yang merupakan seorang doktor menyokong penuh tindakan anak perempuannya itu.

Farah baharu saja menamatkan pendidikan dari sebuah sekolah Katolik di Semenanjung Gaza dan bercita-cita untuk menjadi peguam telah melalui tiga peperangan setakat ini.

Peperangan terakhir yang dilaluinya merupakan yang paling menakutkan dalam hidupnya.

Malah segalanya masih segar diingatan seperti ia baharu saja berlaku semalam.