Hadeel al-Hashlamun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas ditembak tentera Israel, semalam. AGENSI
RAMALLAH 23 Sept. – Seorang remaja wanita Palestin terbunuh selepas dia ditembak oleh tentera Israel kerana didakwa cuba menikam seorang anggota tentera di Tebing Barat, semalam.
Remaja tersebut Hadeel al-Hashlamon berusia 18 tahun, yang merupakan seorang mahasiswa universiti meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Kematian remaja itu, sekali gus mencetuskan ketegangan lebih teruk menjelangnya sambutan Aidil Adha esok.
Menurut bapa remaja perempuan itu, Salah al-Hashlamon, anggota tentera Israel yang didakwa diserang oleh Hadeel tidak mengalami kecederaan.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki Palestin ditemui mati di sebuah perkampungan di Hebron, malam semalam selepas bahan letupan yang dibawanya didakwa meletup.
Tentera Israel berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan telefon memaklumkan penduduk Palestin membaling batu, tetapi penduduk Palestin masih tidak jelas punca lelaki itu terbunuh.
Ketegangan memuncak di Baitulmaqdis selepas polis Israel dilapor melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin yang didakwa mencetuskan kekacauan di sekitar kawasan Masjid al-Aqsa sejak minggu lepas, beberapa jam sebelum sambutan tahun baharu penduduk Yahudi, Rosh Hashanah apabila penduduk Palestin mengurung diri mereka di dalam masjid itu ketika berlaku pertempuran dengan polis Israel.
Seorang lelaki Israel turut terbunuh dalam kejadian tersebut selepas keretanya dibaling batu.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang kini berada di Paris menggesa semua pihak menghentikan keganasan.
Sejak Selasa lepas, Israel menguatkuasakan undang-undang tidak membenarkan lelaki di bawah umur 40 tahun mendekati Masjid al-Aqsa bagi memastikan tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika musim cuti. – AP