Monday 28 April 2014

PM Palestin tawar letak jawatan

Rami Hamdallah
 Hamdallah 
27 April 2014RAMALLAH - PALESTIN. Perdana Menteri Palestin kelmarin menawarkan untuk meletak jawatan bagi membuka jalan perpaduan antara Presiden Mahmoud Abbas dan Hamas.

Tawaran Rami Hamdallah dibuat sehari selepas Israel menggantung rundingan damai dengan Palestin kerana berpendapat rundingan tidak dapat dibuat bersama pentadbiran merangkumi kumpulan militan yang telah bersumpah untuk kemusnahan Israel.

"Saya mengemukakan peletakan jawatan ini dan kerajaan kini terletak di tangan anda pada bila-bila masa yang anda mahu,"katanya kepada Abbas yang dipetik media WAFA.

Hamdallah yang berperanan terhadap urus tadbir negeri pernah menawarkan peletakan jawatan tahun lalu, namun keputusan berkenaan ditarik semula tidak lama kemudian.

Pakatan pendamaian yang dipersetujui antara Hamas dan parti Abbas Fatah pada Rabu lalu menjangkakan kebebasan kerajaan teknokrat dalam tempoh lima minggu dan mengadakan pilihan raya enam bulan kemudian, laporan dipetik dari Al Jazeera.

Palestin tetap iktiraf Israel - Abbas


Penduduk Palestin kurang upaya turut meraikan perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan Palestin di Gaza City pada 24 April lalu. - AFP
RAMALLAH 27 April - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (gambar) membayangkan kerajaan perpaduan yang dipersetujui dengan pergerakan Hamas akan tetap mengiktiraf Israel dengan beliau kekal komited kepada perjanjian damai tajaan Amerika Syarikat (AS), yang kini berdepan masalah.
Kenyataan Abbas itu dibuat bagi mengurangkan kebimbangan AS tentang tindakan pemimpin Fatah berkenaan menandatangani perjanjian untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Hamas pada Rabu lalu, hingga mengakibatkan Israel menangguhkan rundingan damai dengan Abbas.
"Kerajaan akan berada di bawah arahan dan polisi saya. Skop kerajaan itu pula adalah tentang apa yang berlaku di dalam negara.
"Saya mengiktiraf Israel dan kerajaan juga akan mengambil tindakan serupa. Saya menolak keganasan,'' katanya kepada pemimpin-pemimpin kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di ibu pejabat Presiden di bandar Tebing Barat yang diduduki Israel di sini, semalam.
Hamas dan Fatah mencapai perjanjian untuk membentuk kerajaan perpaduan dalam tempoh lima minggu akan datang dan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh kira-kira enam bulan selepas pembentukan kerajaan tersebut.
Bagaimanapun, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, pergerakan itu sama sekali tidak akan mengubah pendirian mereka berhubung Israel iaitu mereka tidak akan sama sekali mengiktiraf Israel
Abbas dalam pada itu berkata, beliau terbuka untuk meneruskan rundingan damai dan bersedia untuk melanjutkan perbincangan dengan Israel, walaupun melepasi tarikh tamatnya rundingan, dengan syarat Israel memenuhi syarat yang dituntut mereka sebelum ini.
"Bagaimana boleh kita memulakan semula rundingan ini? Sepatutnya tiada halangan bagi kami untuk memulakan semula perbincangan itu, namun 30 tahanan Palestin perlu dibebaskan (terlebih dahulu).... dan setelah pelan kami dipersetujui, kesemua aktiviti penempatan haram Yahudi mesti dihentikan sepenuhnya,'' katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin, Rami Hamdallah menawarkan diri untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepada penubuhan kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah.
Tindakan Rami turut disambut baik Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh yang menyatakan kesediaannya meletak jawatan di Gaza, kata seorang pemimpin Hamas di Tebing Barat, Sheikh Hassan Yousef kepada Press TV. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140428/lu_01/Palestin-tetap-iktiraf-Israel---Abbas#ixzz3082RUaSb
© Utusan Melayu (M) Bhd