Pengakuan itu terkandung dalam satu laporan terperinci antara kementerian, yang ditolak oleh Palestin.
Portal Al Jazeera melaporkan, dalam laporan yang disediakan Kementerian Kehakiman dan Kementerian Luar yang turut menyertakan maklumat daripada pasukan keselamatan, kerajaan Israel menyatakan bahawa tentera Israel tidak sengaja menyasarkan orang awam dalam serangan tersebut.
Laporan siasatan Israel berhubung tindakan tenteranya dan anggota pergerakan Hamas dalam perang tersebut, didedahkan dua minggu sebelum penerbitan satu siasatan oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dokumen setebal 242 muka itu menyatakan strategi Hamas adalah sengaja melakukan pertempuran di kawasan bandar dan menggunakan kawasan yang berpenduduk sebagai kelebihan taktikal dan politik.
Kementerian mengaku sejumlah orang awam terperangkap dalam pertempuran itu, namun Israel didakwa tidak sengaja menyasarkan orang awam atau kemudahan awam.
PBB mengesahkan kebanyakan daripada 2,139 penduduk Palestin yang terbunuh dalam perang selama 50 hari itu merupakan orang awam, manakala hanya 66 askar Israel dan enam orang awam Israel serta seorang rakyat Thailand maut.
Jurucakap kerajaan Palestin di Ramallah, Ihab Bseiso berkata, Palestin hanya menerima keputusan yang dikeluarkan badan siasatan antarabangsa seperti laporan PBB yang dijangka diterbitkan pada 29 Jun ini.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memuji laporan tersebut dengan menyatakan dokumen itu menjadi bukti tindakan Israel tidak melanggar undang-undang.