Wednesday 5 February 2014

Ekonomi Genting Gaza terus alami kemerosotan


Gambar tidak bertarikh merakamkan seorang kanak-kanak perempuan berlari di hadapan runtuhan bangunan akibat bedilan tentera Israel di Genting Gaza, Palestin. - AGENSI
GAZA 4 Feb. - Keadaan ekonomi di Genting Gaza terus mengalami kemerosotan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas Israel bertindak mengenakan sekatan dan menutup jalan-jalan masuk ke wilayah Palestin itu.
Sekatan yang dikenakan sejak 2007 ke atas 1.7 juta penduduk Gaza mengakibatkan banyak premis perniagaan ditutup dan jatuh muflis.
Sebagai contoh, Kerem Shalom, satu-satunya pusat komersial di sini terpaksa ditutup selama lebih 150 hari pada tahun lalu.
Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), sebelum Israel mengenakan sekatan, sekurang-kurangnya 3,000 buah lori melalui Kerem Shalom untuk ke Gaza setiap minggu.
Namun, kini bilangan lori yang melalui kawasan itu semakin berkurangan dengan hanya mencatat kira-kira 900 lori seminggu.
"Penutupan lintasan itu sememangnya menganggu perniagaan kami, operasi perniagaan dijalankan dalam jangka waktu yang terlalu singkat. Bagi kawasan perniagaan yang semakin membangun seperti Kerem Shalom, waktu perniagaan haruslah tetap," kata salah seorang penduduk Palestin kepada Press TV.
Dahulunya, Gaza memiliki tiga buah pusat komersial, namun ia ditutup oleh kerajaan Israel beberapa tahun lalu atas alasan keselamatan.
Seorang profesor ekonomi, Moeen Rajal berkata, ekonomi di Gaza boleh kembali berkembang jika sekatan tersebut ditarik balik dan membuka semula kawasan lintasan itu.
"Israel secara unilateral menutup lintasan Kerem Shalom selama lima bulan pada 2013. Penutupan itu dibuat selepas penemuan terowong bawah tanah dari Gaza ke Mesir oleh tentera Mesir, yang dipercayai bagi menyeludup barangan keperluan kepada penduduk Gaza selain menyuburkan ekonomi di sini," jelas Moeen. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140205/lu_02/Ekonomi-Genting-Gaza-terus-alami-kemerosotan#ixzz2sOPwakIm
© Utusan Melayu (M) Bhd