GAZA - PALESTIN. Sekurang-kurangnya AS$7.8 bilion (RM25 bilion) diperlukan untuk membina semula Gaza selepas musnah dalam serangan Israel selama hampir tujuh minggu, menurut pakar di Palestin, semalam. Majlis Ekonomi Palestin bagi Pembangunan dan Pembinaan Semula Palestin, yang menerbitkan laporan itu berkata, proses pembinaan semula kawasan keseluruhan dan infrastruktur penting akan mengambil masa lima tahun. Bagaimanapun, proses itu bergantung jika Israel membuka sepenuhnya sekatan ke atas Gaza. "Gaza telah dilanda malapetaka yang dahsyat, dan mereka memerlukan bantuan serta merta,"menurut Mohammed Shtayyeh. Katanya lagi, sejumlah AS$2.5 bilion (RM8 bilion) adalah untuk membina 17,000 rumah yang musnah dalam serangan bom tentera Zionis. Laporan juga menyebut, sektor tenaga memerlukan AS$250 juta (RM796 juta) selepas loji kuasa Gaza musnah dibedil, manakala sektor pendidikan di Genting Gaza memerlukan kira-kira AS$143 juta (RM455 juta). Dipetik sumber Al Jazeera, penilaian turut memperuntukkan sebanyak AS$670 juta (RM2.1bilion) untuk lapangan terbang dan pelabuhan, seperti diminta Hamas selaku kumpulan yang mentadbir wilayah itu. Kos selebihnya adalah diperuntukkan kepada sektor kesihatan, pertanian dan pengangkutan yang juga mengalami kemusnahan teruk sepanjang perang berkenaan berlangsung.