Saturday 6 September 2014

RM24.7 bilion untuk bangun Gaza


RAMALLAH 5 Sept. - Pihak Berkuasa Palestin (PA) berkata, sebanyak AS$7.8 bilion (RM24.7 bilion) diperlukan untuk membangunkan semula Gaza yang mengalami kerosakan teruk akibat serangan Israel selama tujuh minggu, yang menyaksikan kesemua kawasan kediaman dan infrastruktur ranap.
Menurut laman web arabnews.com, sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.9 bilion) diperlukan untuk membina semula 17,000 rumah untuk penduduk Gaza dan sebanyak AS$250 juta (RM794.7 juta) diperlukan untuk membina semula sektor tenaga, selepas loji janakuasa di Gaza musnah akibat bedilan dua peluru berpandu Israel.
"Serangan ke atas Gaza kali ini tidak seperti sebelum ini, dan Gaza memerlukan bantuan segera kerana tidak boleh menunggu lama," kata pakar ekonomi Palestin dan anggota kanan Parti Fatah, Mohammed Shtayyeh.
Pembinaan semula Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan asing dan hanya boleh dilaksanakan selepas perang ditamatkan dan Israel membuka pintu sempadan, kata Shtayyeh yang merupakan Ketua Majlis Ekonomi Palestin untuk Penyelidikan dan Pembanguna (PECDAR) .
Sektor pendidikan pula memerlukan perbelanjaan kira-kira AS$143 juta (RM456.6 juta).
Kira-kira setengah juta kanak-kanak tidak dapat meneruskan persekolahan mereka kerana banyak sekolah yang rosak dan bangunan sekolah digunakan sebagai pusat perlindungan untuk pelarian Gaza.
Lebih 106,000 daripada 1.8 juta penduduk Gaza terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) ekoran serangan Israel itu.
Selain itu, sebanyak AS$670 juta (RM2.1 juta) diperlukan untuk membina semula lapangan terbang dan pelabuhan yang musnah dalam serangan Israel.


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

No comments:

Post a Comment