BRUSSELS - Sebanyak 12 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran keras kepada rakyat mereka yang terlibat secara langsung dengan projek penempatan haram Israel.

Media tempatan melaporkan kepada Press TV, kesemua negara itu termasuk Denmark, Belgium dan Portugal membantah projek penempatan haram tersebut kerana ia melanggar undang-undang antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, jurucakap EU menegaskan sebarang bentuk urus niaga dan aktiviti ekonomi yang menyumbang atau memberi manfaat kepada projek kontroversi tersebut bakal memberi kesan besar terhadap reputasi pihak terlibat.

"Kita mesti bersepakat menyertai kempen antarabangsa untuk memboikot kesemua produk dan projek penempatan haram Israel," katanya.

Dalam perkembangan lain, ribuan penduduk Israel mengadakan protes membantah gelombang keganasan terbaharu yang dilancarkan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

Bantahan anjuran Peace Now itu turut melaungkan slogan mengecam tindakan Israel melancarkan serangan balas kononnya untuk menuntut bela di atas kematian tiga remaja Israel, awal minggu lalu.