Monday 7 April 2014

Genting Gaza dibedil kurang 48 jam

Genting Gaza dibedil kurang 48 jam
Serangan udara terbaharu di Genting Gaza dilancarkan Israel dalam tempoh kurang 48 jam.
7 April 2014  GENTING GAZA - PALESTIN. Rejim Zionis sekali lagi membedil Semenanjung Gaza kurang daripada 48 jam selepas beberapa serangan udara dilancarkan di wilayah itu.

Pihak berkuasa Palestin memaklumkan, lima kawasan di utara dan selatan Genting Gaza menjadi sasaran terbaharu insiden terbabit.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan, menurut Press TV.

Jumaat lalu, sebanyak 18 roket dibedil di beberapa lokasi selepas pesawat pejuang Israel melancarkan tujuh serangan secara serentak di wilayah terbabit.

Sejak bulan lalu, rejim Zionis telah meningkatkan serangan di Gaza dan tindakan tersebut turut dikecam banyak pihak kerana ia secara terang-terangan mencabuli gencatan senjata yang ditandatangani pada 2012.

Israel ancam tindak balas


Benjamin Netanyahu berkata, rejimnya akan bertindak balas jika Palestin meneruskan permohonan untuk menyertai 15 perjanjian antarabangsa. 
Pemimpin Zionis itu berkata, langkah Palestin itu hanya akan menyulitkan rundingan damai. 

Pihak berkuasa Palestin Selasa lalu mengemukakan permohonan untuk menyertai perjanjian antarabangsa selepas Israel enggan menunaikan janji untuk membebaskan kumpulan keempat tahanan Palestin.
Foto
SEORANG wanita Palestin berjalan melintasi dinding pemisah di pos kawalan Qalandia, Tebing Barat yang mempunyai lukisan grafiti pemimpin Fatah, Marwan Barghuti.

“Selepas Palestin bertindak tanpa persetujuan kami, kami juga akan melakukan serupa,” kata Netanyahu.

Menurutnya, rakyat Palestin akan rugi dengan tindakan satu pihak itu. 

“Mereka hanya boleh mendapatkan sebuah negara merdeka menerusi rundingan secara langsung, bukan dengan perisytiharan kosong atau tindakan bersendirian tanpa persetujuan kami,” kata pemimpin Zionis itu. 

Katanya, Israel bersedia untuk menyambung semula rundingan, tetapi tidak akan melakukannya dengan ancaman seperti yang dilakukan Palestin ketika ini. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07