GAZA - PALESTIN. Pejuang Hamas dan kumpulan sayapnya menyifatkan peperangan antara Palestin dan Israel yang tercetus 50 hari itu sesuatu yang tidak boleh dilupakan atau dimaafkan.

Menurut Agensi, Pemimpin Jihad Islam Ramadan Shallah berkata, peperangan itu terpaksa dibalas bagi melindungi penduduk Palestin selepas diserang rejim Zionis bertali arus.

"Penduduk dunia selama ini menyangka kami hanya mampu bertahan sejam sahaja. Kini, kami buktikan bahawa kami mampu bertahan kira-kira dua bulan sebelum Israel tunduk kepada kami,“ katanya.

Menurutnya, peperangan ini belum berakhir dan sehingga kini pejuang Palestin kekal bertahan dan waspada.

Sementara itu, Briged Al-Qassam mendedahkan, tiga hari sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan, kumpulan pejuang terbabit menyasarkan serangan ke atas pemimpin kanan tentera, Benny Gantz yang dipercayai mahu memasuki Gaza.

Jurucakap Al-Qassam Abu-Khalil berkata, serangan itu mengenai sasaran namun media Israel menyangkal dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, tentera Israel semalam menyerbu sebuah sekolah menengah di bandar Nablus, Tebing Barat,

Aktivis Palestin melaporkan, puluhan askar Israel menyerbu Sekolah Buren di selatan Nablus dan cuba menahan beberapa pelajar kerana mendakwa mereka dibaling batu.

Susulan tuduhan itu, tentera Israel bertindak melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan ke sekolah berkenaan.

Insiden itu berakhir selepas berlaku campur tangan guru dan ibu bapa.