Friday, 29 August 2014

Netanyahu digesa letak jawatan


Benjamin Netanyahu
GAZA 28 Ogos - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berdepan gesaan untuk meletak jawatan selepas dikritik hebat oleh akhbar-akhbar Yahudi ekoran kegagalan beliau memimpin operasi ketenteraan menghapuskan pergerakan Hamas di Gaza, sebaliknya terpaksa tunduk kepada perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Mesir.
Menurut laporan portal Mail Online, kolumnis akhbar Israel mempersoal tindakan Netanyahu tunduk terhadap perjanjian itu yang menunjukkan wilayah Yahudi kelihatan lemah dan meningkatkan risiko serangan kumpulan pejuang lain ke atas rejim Zionis pada masa akan datang.
Penganalisis akhbar Yedioth Ahronoth, Shimon Shiffer berkata, beliau kecewa dengan tahap kepemimpinan yang ditonjolkan Netanyahu selepas melancarkan operasi ketenteraan ke atas Gaza selama tujuh minggu untuk menghapuskan gerakan Hamas.
Jelasnya, selepas 50 hari berperang, Hamas berjaya membunuh berpuluh-puluh askar Israel dan penduduk Yahudi selain mengganggu rutin harian dan mengakibatkan ekonominya terjejas.
Sebahagian anggota kumpulan pejuang Briged al-Qassam, menyertai satu perarakan meraikan kemenangan menundukkan Israel di Gaza City, kelmarin. - AFP
"Kami sebagai penduduk Israel mengharapkan perkembangan yang lebih baik daripada persetujuan gencatan senjata.
"Kami juga mahu Perdana Menteri (Netanyahu) pergi ke kediaman Presiden, Reuven Rivlin untuk memaklumkan peletakan jawatan beliau," kata Shiffer dalam kolumnis akhbar paling laris di Israel itu.
Seorang lagi kolumnis popular Israel, Nahum Barnea dalam penulisannya menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan menghapuskan ancaman dari Gaza, sebaliknya membuka ruang ancaman dari Lebanon atau wilayah Palestin itu sendiri pada masa lain.
"Penduduk Israel mengharapkan seorang pemimpin yang mempunyai visi, berjuang dengan jujur dan berani mengambil keputusan serta berani berdepan dengan rakyatnya," katanya.
Penulis akhbar Maariv, Ben Caspit berkata, tiada kemenangan buat Israel dalam konflik di Gaza kerana kemerosotan ekonomi dan industri pelancongan wilayah itu.
Dalam perkembangan sama, satu tinjauan terbaharu yang dilaporkan Associated Press mendapati, majoriti rakyat Israel meragui keupayaan Netanyahu apabila akhbar tempatan, Haaretz menunjukkan 54 peratus daripada 464 orang berpendapat tiada pemenang sebenar dalam peperangan di Gaza.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140829/lu_03/Netanyahu-digesa-letak-jawatan#ixzz3BjZ72yi0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment