Friday, 29 August 2014

Sinar hidup baru


Jutaan rakyat Palestin di Gaza menikmati keamanan buat hari kedua semalam selepas petempuran dihentikan berikutan persetujuan gencatan senjata berpanjangan dicapai. 
Persetujuan itu menyaksikan kedua-dua pihak bertelagah bersetuju menghentikan pertumpahan darah yang berlarutan selama tujuh minggu, perkembangan yang mendapat sokongan penuh Washington, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pemimpin besar dunia. 

Menurut perjanjian itu, Israel bersetuju menghentikan segera kepungan ke atas aktiviti nelayan, membolehkan bot nelayan Palestin menangkap ikan sehingga enam batu nautika dari pantai. Ia berkuat kuasa serta-merta.
Foto
PENDUDUK Shijaiyah berkumpul untuk meraikan kemenangan ke atas Israel.

Rejim Zionis itu juga bersetuju mengurangkan sekatan di dua laluan masuk ke Gaza, Erez dan Kerem Shalom bagi membolehkan kemasukan barangan keperluan, bantuan kemanusiaan dan bahan binaan, juga berkuatkuasa semalam.

Rundingan mengenai isu lain seperti tuntutan Hamas berhubung pembinaan perlabuhan dan lapangan terbang serta desakan Israel agar Hamas tidak diberikan senjata, ditunda ke bulan depan apabila kedua-dua pihak menyambung semula rundingan di Kaherah. 

Kini, fokus diberikan kepada usaha menyediakan keperluan bagi 1.8 juta penduduk di Gaza yang hampir setengah juta daripadanya terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing ekoran tindakan Israel melancarkan serangan membabi-buta. 

Di pintu masuk sempadan di Kerem Shalom, deretan lori yang membawa barangan keperluan dan bantuan kemanusiaan dilihat bergerak memasuki Gaza dan ada di antaranya mempunyai logo agensi PBB untuk pelarian (UNRWA) 

Seorang pemandu lori , Abu Amer memberitahu, ketika pertempuran mereka sering keluar masuk di situ dan semuanya membawa barangan bantuan. 

“Kini, saya membawa barangan jualan untuk kedai di Gaza,” katanya. 

Ada di antara lori berkenaan membawa perabot, buah-buahan, makanan dalam tin dan bekas yang kelihatan seperti tangki air. 

Kelmarin, lebih 200 tan barangan bantuan dari Arab Saudi, Oman dan Turki dibawa ke Gaza melalui pintu masuk sempadan Rafah. 

Selain itu, konvoi bantuan Program Makanan Dunia (WFP)juga tiba di Gaza buat kali pertama sejak 2007, membawa bekalan makanan yang mampu menampung keperluan 150,000 orang selama lima hari.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

No comments:

Post a Comment