Undang-undang itu, diluluskan bagi menghalang pejuang Palestin yang ditahan Israel untuk memberi tekanan kepada rejim Zionis itu dengan mengadakan mogok lapar, seperti yang berlaku sejak beberapa tahun lalu apabila tahanan Palestin melancarkan mogok lapar secara beramai-ramai.
Walaupun undang-undang itu tidak merujuk kepada penduduk Palestin, namun Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Gilad Erdan berkata, tindakan tersebut perlu diambil memandangkan kempen mogok lapar dalam kalangan pejuang Palestin menjadi ancaman kepada Israel.
Undang-undang yang diluluskan dengan undian 46 menyokong berbanding 40 menentang, hanya digunakan jika doktor mendapati aktiviti mogok lapar secara berterusan boleh menyebabkan nyawa banduan berada dalam bahaya atau memberi kesan kesihatan yang berpanjangan terhadap banduan terlibat.
Bagaimanapun pembangkang Israel mengkritik langkah terbaharu itu, yang disifatkan sebagai bentuk seksaan terbaharu terhadap tahanan Palestin dan cara untuk melemahkan perjuangan mereka.
Persatuan Perubatan Israel turut menentang undang-undang berkenaan dengan memberi amaran kepada kumpulan doktor agar mengamalkan etika perubatan dengan betul dan tidak memberi makan tanpa kerelaan banduan.
Kelmarin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan Israel agar tidak meluluskan undang-undang itu yang disifatkan sebagai satu bentuk seksaan kepada banduan. – AFP